BATU PAHAT – Jemaah umrah Musthafa Kamal Abdullah, yang dilaporkan hilang di Makkah pada Disember lepas, disahkan telah meninggal dunia.

Anak sulungnya, Muhammad Nabil, 26, berkata, beliau sekeluarga reda dengan pemergian ayahnya itu setelah menerima pengesahan mengenainya daripada Kedutaan Malaysia, kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.

Beliau berkata, solat jenazah ghaib ke atas jenazah ayahnya, yang merupakan guru sekolah itu, diadakan di Masjid Jamek Sri Gading selepas solat Jumaat.

“Saya juga diberitahu oleh pihak kedutaan di sana semalam, yang ayah sebenarnya telah meninggal dunia pada 13 Feb lepas, selepas segala pengesahan biometrik serta pengurusan dan pengebumiannya selesai.

“Kini saya bersama ibu, adik beradik dan ahli keluarga yang lain hanya menunggu dokumen pengesahan kematian ayah, saya agak terkilan kerana baru sahaja diberitahu semalam susulan proses pengesahan kematian daripada pihak Arab Saudi yang mengambil masa lama,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Sri Gading, di sini, hari ini.

Muhammad Nabil, yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, itu memaklumkan bahawa pihak Kedutaan Malaysia di sana juga baru mengetahui mengenai kematian ayahnya, kira-kira dua hari sebelum memberitahu keluarga.

Selain, menunggu dokumen pengesahan kematian, mereka sekeluarga juga mahu mengetahui punca sebenar kematian ayahnya serta lokasi arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Beliau juga berhasrat membawa ibu dan empat adiknya untuk menziarahi pusara arwah ayahnya di Makkah dalam masa terdekat.

“Saya menganggap kejadian ini ada hikmah di sebaliknya dan bersyukur ayah meninggal dalam keadaan keadaan yang baik (berihram) serta dalam bulan yang baik (Rejab),” katanya.

Musthafa Kamal, 49, yang menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz, 17, sepatutnya pulang pada 18 Dis lepas, dilaporkan hilang pada 12 Dis. – BERNAMA