Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media selepas beramah mesra bersama pengamal media Malaysia Gazette pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

KUALA LUMPUR – UMNO sama sekali tidak dapat menahan ahli-ahlinya yang dipecat mahupun yang sedang digantung daripada mengkritik parti itu.

Tetapi,  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, akar umbi UMNO boleh menilai sendiri mana-mana pihak yang memburuk-burukkan UMNO.

“Kita tidak dapat menahan orang daripada bercakap apa juga yang diperkata dan dilemparkan. Ahli UMNO boleh nilai sendiri apa juga yang dikatakan kerana kita mengamalkan kebebasan bersuara, tambahan pula mereka tidak lagi ahli UMNO (yang dipecat) dan yang digantung  itu terpulang kepada mereka untuk bercakap, kita tidak boleh halang.

“Tetapi UMNO parti yang telah lama, saya jangkakan ahli boleh buat penilaian sendiri kadang-kadang ada ungkapan yang mereka lemparkan itu merupakan psywar, melepaskan geram.

“Saya harap ahli UMNO tidak terganggu dengan apa yang dikatakan,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023), hari ini.

Mohamad diminta mengulas tentang kenyataan pedas daripada beberapa ahli UMNO yang digantung dan dipecat mengenai parti itu.

Terbaharu, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa kemusnahan yang berlaku kepada UMNO kini disebabkan nasihat diberikan Datuk Seri Ahmad Maslan ketika Ahli Parlimen Pontian itu menjadi Setiausaha Agung.

Tajuddin yang digantung keahlian dalam UMNO berkata, ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), Ahmad tidak menghiraukan pandangan akar umbi berkaitan isu calon yang diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya itu.

Malah Khairy Jamaluddin yang dipecat turut mengkritik bahawa UMNO akan ‘bungkus’ pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menasihat agar ahli-ahli UMNO untuk terus ke hadapan dan meninggalkan mana-mana pemimpin yang sudah tiada kaitan dengan UMNO.

“Kita move foward seperti yang saya cakap dalam perasmian Puteri, Pemuda dan Wanita, kita tidak lagi mampu berpecah dan tidak mampu lagi berselisih dan berpuak-puak serta  kurangkan sindir-menyindir satu sama lain.

“Jika ada pandangan atau untuk menegur parti, gunakan saluran yang ada dalam parti untuk kita bincang dan perbaiki apa kelemahan UMNO tidak lekang daripada kelemahan dan jika ada pandangan yang baik salurkan dalam saluran parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette