Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO diibaratkan sebagai pohon besar yang melindungi akar umbi dan kepimpinan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Justeru itu, beliau menggesa agar ‘pohon’ besar yang memayungi masyarakat Melayu tidak dibunuh serta ditebang.

“Mari kita tinggalkan benih untuk masa depan agar terus subur dan jadi tempat mereka berlindung, pohon yang akan membesar tempat anak cucu kita nanti berlindung daripada hujan dan panas.

“Kalau berbuah, buahnya boleh dimakan bersama. Kalau hujan petir disitulah mereka berteduh kalau panas disitu juga mereka akan berteduh.

“Pokok yang besar ini, ramai yang makan buahnya, ramai yang sudah nikmati nikmatnya. Ramai juga yang sudah tidak memerlukan pokok ini.

“Tetapi janganlah yang telah menikmati hasilnya, kita nak bunuh dan tebang pokoknya,” katanya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Jelasnya, sekiranya UMNO ‘ditebang’ maka golongan masa depan masyarakat Melayu sudah tidak ada platform untuk mempertahankan orang Melayu.

Jadi katanya, pemimpin UMNO masa kini perlu bersama-masa untuk menggembling tenaga agar terus mempertahankan parti UMNO.

“UMNO ini (diibaratkan) sebagai pokok yang besar di mana tempat kita berlindung, tempat kita menaruh harapan masa depan.

“Bagi rakan-rakan yang akan menghadapi PRN enam negeri tidak lama lagi rata akan bubarkan Dewan Undangan Negerinya pada penghujung bulan ini maka kita jangka akan diadakan pada hujung Julai dan Ogos,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad turut menasihatkan agar kepimpinan UMNO untuk tidak berselisih faham antara satu sama yang lain.

Ujarnya, perkara ini akan mencerminkan bahawa UMNO masih lagi berpecah walaupun sudah menghadapi kekalahan teruk di Pilihan Raya Umum 14 dan 15.

“Elakkan berselisih faham dan membuat kenyataan yang boleh mengelirukan orang.

“Rundingan janfan berselisih faham, muafakat jangan bercanggah. Muafakat itu punca sengketa dan sengketa itu punca celaka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast