KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan sedar dan akur dengan ketentuan Allah yang belum mengizinkannya mereka mentadbir negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO negeri itu, Datuk Zawawi Othman berkata, apa yang penting, pihaknya sentiasa berusaha memberi kesedaran kepada rakyat mengenai permasalahan yang melanda dan pilihan untuk memilih Barisan Nasional (BN) atau Pas mengemudi Kelantan ke arah lebih baik.
“Kita juga jangan lupa, Tan Sri Annuar Musa pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional Kelantan pada tahun 1994 hingga 2001.
“Sepanjang dua kali menerajui UMNO dan BN Kelantan itu, dia juga gagal menawan negeri ini dari Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas ucapan selamat berjaya dari Annuar kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan tekadnya untuk mempertahankan tiga negeri di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Menurut Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu, sebagai seorang presiden parti, Ahmad Zahid semestinya cuba membina keyakinan ahlinya dengan menyatakan komitmennya sebegitu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
“Tetapi rakyat pun dah buat tekad siapa yang mereka nak undi. Saya respect. Itu tugas dia. Tapi di Kelantan pun selama 34 tahun (UMNO) berikrar untuk merampas negeri itu tapi tiap-tiap kali pilihan raya, kalah juga,” kata Annuar sinis.
Menurut Zawawi, mungkin Pas memikirkan kemasukan Annuar menguatkan parti itu untuk menghalang gelombang kemarahan rakyat terhadap isu air, tanah dan nepotisme lantikan anak beranak dalam jawatan kerajaan.
Apa pun yang berlaku, katanya, UMNO Kelantan telah move forward dan menjangka penyertaan Annuar dalam Pas serta Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kecenderungan beliau sebelum ini pun mengutamakan arahan Tan Sri Muhyiddin Yassin melebihi daripada ketetapan parti sendiri.
“Insya-Allah dalam PRN kali ini gabungan Kerajaan Perpaduan akan memberikan tawaran terbaik kepada pengundi di Kelantan dalam memajukan negeri ini dari segi kemudahan asas dan sosio ekonomi rakyat.
“Kepada Allah kami berserah yang menentukan masa yang tepat untuk kami mentadbir Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette
Abaikan nuar ni.. dh tak releven.