Rakaman CCTV menunjukkan tindakan suspek melarikan diri selepas melakukan pecah rumah di Ampang pada 9 dan 10 Jun lalu.- Gambar ihsan IPD Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Taktik geng pecah rumah yang didalangi warga tempatan yang mengumpil tingkap dapur sebelum melarikan barang berharganya akhirnya tumpas di tangan polis.

Tujuh suspek warga tempatan termasuk dua wanita yang disyaki bertanggungjawab dengan aktiviti jenayah pecah rumah itu secara aktif di Lembah Klang berjaya diberkas polis dalam satu serbuan pada 9 dan 10 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian samun itu berlaku di Taman Permata, Ampang Jaya pada 22 Mei lalu.

“Pada hari kejadian lebih kurang 3.45 pagi semasa pengadu berada di rumah telah terbangun dari tidur sebelum mendapati ada orang menyuluh lampu ke dalam bilik di tingkat atas.

Antara barang rampasan dari geng aktif pecah masuk rumah didalangi 7 suspek termasuk dua wanita tempatan sebelum ditumpaskan polis pada 9 dan 10 Jun lalu.- Gambar ihsan IPD Ampang Jaya.

“Pengadu terus menjerit sebelum orang (disyaki suspek) tersebut bergegas turun ke tingkat bawah dan melarikan diri melalui pintu hadapan rumah.

“Pemeriksaan mendapati tingkap rumah di dapur terbuka serta grill telah dicabut (diumpil) penjenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa mendapati barangan rumah iaitu seunit komputer riba, sebuah beg sekolah anak, seunit telefon bimbit jenis Iphone X dan seunit telefon bimbit jenis Iphone SE telah hilang dengan jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM10,000.

Bertindak atas laporan pengadu, pada Jumaat 3 petang sehingga Sabtu  6.20 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ampang Jaya telah membuat tangkapan ke atas lima lelaki dan dua wanita yang disyaki bertanggungjawab terhadap jenayah pecah rumah yang disiasat polis.

“Kesemua mereka berjaya dicekup dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan polis di sekitar daerah Wangsa Maju, Sentul dan Gombak.

“Siasatan lanjut ke atas mereka mendapati kesemua suspek yang ditangkap itu adalah berumur lingkungan antara 22 hingga 32 tahun dan tidak bekerja.

Antara barang rampasan dari geng aktif pecah masuk rumah didalangi 7 suspek termasuk dua wanita tempatan sebelum ditumpaskan polis pada 9 dan 10 Jun lalu.Ihsan IPD Ampang Jaya.

“Pemeriksaan ke atas mereka polis turut membuat rampasan beberapa barang seperti telefon bimbit, laptop, alatan spanar, alatan allen key, sebuah motokar jenis Toyota Alphard masih dilaporkan hilang,” katanya.

Jelasnya, sementara itu dua buah motosikal jenis Yamaha Y15 dan LC 135 masih dilaporkan hilang manakala dua buah motorsikal jenis EX5 dan Yamaha 125Z milik suspek, skru driver, kad akses bilik hotel, resit hotel, sepasang uniform operasi polis dan komponen motorsikal turut dirampas untuk membantu siasatan lanjut kes.

Tegas Mohamad Farouk lagi, semakan polis juga mendapati tangkapan pertama tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau sementara selebihnya termasuk dua wanita itu mempunyai 11 rekod jenayah kesalahan lampau dan 16 rekod dadah serta satu kes masih dikehendaki polis.

“Kesemua mereka dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum enam daripadanya positif methaphetamine, amphethamine dan THC manakala seorang lagi negatif sebarang dadah.

“Kesemua suspek dihadapkan ke mahkamah Ampang dan dibenarkan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kes sedang disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan iaitu melakukan kesalahan pecah rumah bagi tujuan melakukan curi yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast