Budak lelaki 11 tahun viral memandu kereta dalam kejadian di Pandamaran Klang akhirnya ditahan di rumah bersama bapanya selaku pemilik kenderaan hari ini.- Kredit video: Malaysiaviral

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tular di media sosial apabila memandu kereta milik keluarganya di jalan raya membuatkannya ditahan polis di rumahnya di Pandamaran, Klang.

Turut ditahan adalah bapa kanak-kanak itu yang merupakan pemilik berdaftar kenderaan yang dipandu oleh murid sekolah rendah berkenaan.

Penahanan itu bagi membantu siasatan atas kesalahan bersubahat dan berlaku cuai dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Klang Selatan telah menerima satu klip video yang tular di media sosial berhubung kejadian itu.

Katanya, pengamatan pegawai penyiasat terhadap video berdurasi 1.21 minit berkenaan mendapati seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah motokar jenis Proton Saga berwarna silver bernombor pendafataran NCJ 3233 yang mana siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 9 Jun lalu pukul 6 petang di Jalan Banting-Pandamaran (Jalan Kampung Pendamar).

“Bertindak di atas maklumat itu, hari ini pukul 1.15 pagi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan telah membuat serbuan di sebuah rumah yang terletak di kawasan perumahan Pandamaran.

“Hasil serbuan tersebut anggota polis telah menahan sebuah motokar jenis Proton Saga nombor pendaftaran NCJ 3233 bersama pemiliknya serta seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun dipercayai memandu motokar seperti dalam video yang ditularkan yang sedang disiasat polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, kereta yang dirampas dan bapa dengan anaknya itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik, IPD Klang Selatan untuk membantu siasatan  dalam kes tersebut.

Siasatan lanjut polis mendapati pemilik kenderaan tular itu merupakan bapa kepada kanak-kanak tersebut berumur 49 tahun manakala kanak-kanak lelaki berkenaan merupakan anak keempat dan masih belajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Pendamar.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 39(1) APJ 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 APJ 1987 iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

“Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu.

“Polis juga meneruskan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi yang membawa denda maksimum RM5,000 atau dipenjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan sentiasa mengawasi gerak-geri anak-anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

“Perbuatan menularkan sebarang konten sama-ada dalam bentuk video atau gambar-gambar secara sewenang-wenangnya adalah tidak digalakkan demi menjaga imej dan privasi orang lain sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan,” tegasnya. – MalaysiaGazette