BALING – Pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan beberapa peraturan lain yang diperkenal Eropah dilihat satu bentuk diskriminasi yang bertujuan menyekat perniagaan dan industri sawit negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peraturan tersebut selain Perjanjian Hijau Eropah merupakan cadangan untuk menyekat kemasukan produk negara ini yang lebih produktif dan progresif berbanding produk yang dihasilkan di Eropah.
“Sebagai contoh, berbanding minyak sawit kita dengan minyak soya, mereka memerlukan tanah yang lebih besar untuk menghasilkan minyak dan mereka terpaksa buang dan menanam semula untuk mendapatkan hasil. Ini berbeza dengan sawit yang ditanam pada hari ini yang boleh mendapat hasil sehingga 25 tahun.
Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia mengenai amalan diskriminasi itu yang turut memberi kesan kepada industri sawit di negara tersebut.
“Malah, bukan sahaja di peringkat antara Malaysia dan Indonesia, kita telah bersetuju yang mana Indonesia selaku pengerusi ASEAN pada masa ini untuk membawa perkara tersebut ke peringkat perbincangan ASEAN,” katanya.
Misi itu adalah di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Sebelum ini, Presiden Indonesia Joko Widodo semasa mengadakan lawatan kerja ke Malaysia baru-baru ini dilaporkan turut mahu kolaborasi lebih erat di antara kedua-dua negara dalam menentang diskriminasi terhadap minyak sawit.- BERNAMA
Menentang diskriminasi bukan setakat atas kertas. Tp perlaksanaan yg sebenar perlu jd bukti. Sistem penerokaan tanah utk ladang sawit perlu diubah sesuai dgn kepekaan dunia terhadap perubahan iklim. Terutama kaedah di Indonesia, yang menjadi punca persepsi negatif terhadap industri sawit. Begitupun, dalang sebenar penerokaan sawit dgn kaedah sebegini adalah syarikat2 besar dari negara jiran Malaysia dan Indonesia.
Mungkin boleh sulam tiap 100ekar ladang, disediakan hutan pokok buah buahan utk kelangsungan fauna yg kehilangan tempat cari makan.