Remaja berusia 16 tahun yang diselamatkan selepas dilaporkan pengsan dengan kecederaan di kepala dalam hutan Bukit Saga,, Ampang hari ini. - Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki ditemui dalam keadaan tak sedarkan diri di dalam hutan sebelum memulakan aktiviti pendakiannya di Bukit Saga, Ampang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor,  Wan Md Razali Wan Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri menerima pangggilan kecemasan awam memaklumkan mengenai insiden itu 9.36 pagi tadi.

“Bertindak atas panggilan kecemasan itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang telah bergegas ke lokasi kejadian dilaporkan.

“Sejurus tiba di lokasi 9.46 pagi tadi, anggota dilaporkan terdapat seorang mangsa lelaki remaja tempatan berumur lingkungan 16 tahun dipercayai pengsan dari jarak 800 meter dari lokasi pendakian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Md Razali, pasuknnya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri iaitu pengsan di hutan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki kanan. Mangsa kemudian telah dibawa turun oleh anggota Bomba dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan selanjutnya,” tegasnya. – MalaysiaGazette