Api marak selepas bot persiaran terbakar ketika belayar di Laut Merah. foto Twitter

KAHERAH – Tiga pelancong Britain masih hilang selepas sebuah feri yang membawa 28 orang belayar di luar pantai berhampiran bandar peranginan Laut Merah Mesir di Marsa Alam terbakar pada pagi Ahad.

Gabenor Laut Merah dalam satu kenyataan berkata, 12 daripada 15 pelancong Britain, bersama 10 anak kapal dan dua pemandu pelancong Mesir telah diselamatkan oleh bot lain.

Usaha mencari tiga yang hilang masih dijalankan.

Kenyataan itu berkata, siasatan awal menunjukkan kebakaran feri bernama Hurricane itu berkemungkinan berpunca daripada litar pintas di dalam bilik enjin.

Kejadian itu berlaku berhampiran Marsa Alam, sebuah destinasi menyelam yang popular.

Setiausaha Agung Gabenor Laut Merah, Mohamed Bendary berkata, kemalangan itu berlaku di luar pantai kawasan Elphinstone, kira-kira 25 kilometer ke utara Marsa Alam.

Pihak pendakwaan Mesir kini sedang menyiasat lebih lanjut mengenai kemalangan itu. – Agensi