KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM2.8 trilion dengan nilai eksport RM1.6 trilion dan import bernilai RM1.3 trilion pada tahun 2022.

Tujuh negeri yang mencatatkan peningkatan dua digit bagi eksport dan import pada tahun 2022 ialah Labuan, Sarawak, Kedah, Johor, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi eksport Malaysia pada tahun 2022 bernilai RM1.6 trilion, meningkat sebanyak 25.0 peratus berbanding RM1.2 trilion pada tahun sebelumnya.

Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM107.7 bilion, +30.3%), Johor (+RM84.7 bilion, +35.2%), Sarawak (+RM45.4 bilion, +52.7%), Selangor (+RM22.4 bilion, +8.8%), Kedah (+RM14.4 bilion, +36.1%), Sabah (+RM8.8 bilion, +27.0%), W.P. Labuan (+RM8.2 bilion, +75.3%), Kuala Lumpur (+RM2.9 bilion, +4.5%), Pahang (+RM2.9 bilion, +8.9%), Negeri Sembilan (+RM2.2 bilion, +9.4%), Melaka (+RM1.2 bilion, +4.1%), Kelantan (+RM1.2 bilion, +42.1%), Perlis (+RM392.1 juta, +34.2%) dan Terengganu (+RM325.7 juta, +1.9%).

Walau bagaimanapun, eksport Perak menyusut RM2.2 bilion atau 5.6 peratus kepada RM37.1 bilion.

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan sumbangan 29.9 peratus, diikuti oleh Johor (21.0%) dan Selangor (17.8%).

Pertumbuhan eksport disokong oleh eksport litar elektronik bersepadu yang kukuh di Pulau Pinang dan Selangor.

Di samping itu, keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama eksport di Johor.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan import pada tahun 2022 bernilai RM1.3 trilion, meningkat 31.3 peratus berbanding RM987.3 billion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kesemua negeri iaitu Johor (+RM96.3 bilion, +49.7%), Pulau Pinang (+RM61.1 bilion, +26.4%), Selangor (+RM56.0 bilion, +20.2%), Kedah (+RM16.2 bilion, +28.0%), Melaka (+RM15.6 bilion, +61.4%),  Kuala Lumpur (+RM15.5 bilion, +21.0%), Negeri Sembilan (+RM12.9 bilion, +41.2%), Sarawak (+RM10.8 bilion, +46.0%), Pahang (+RM7.3 bilion, +47.7%), Perak (+RM4.8 bilion, +14.9%), Sabah (+RM2.1 bilion, +25.8%), Labuan (+RM1.4 bilion, +71.2%), Terengganu (+RM1.1 bilion, +21.9%), Perlis (+RM425.0 juta, +50.9%) dan Kelantan (+RM191.0 juta, +9.9%).

Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 25.7 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (22.6%) dan Johor (22.4%).

Import yang tinggi dicatatkan di Selangor disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik lain.

Di samping itu, litar elektronik bersepadu merupakan penyumbang utama import di Pulau Pinang manakala keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama import di Johor. – MalaysiaGazette