Ucapan tahniah daripada Seri Paduka dan Permaisuri yang dimuatnaik di Facebook Istana Negara hari ini

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen negara atas kejayaan membanggakan di temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja baru-baru ini.

Turut menzahirkan ucapan tahniah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook, Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka berdua rasa sukacita dengan pencapaian kontinjen negara yang berjaya membawa pulang 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa.

“Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Majlis Paralimpik Malaysia, jurulatih dan individu di belakang tabir atas kejayaan yang membanggakan para pemimpin dan pelbagai lapisan rakyat.

“Ia telah membuktikan sekali lagi bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, kita mampu bersaing dan berjaya melepasi sasaran kita,” demikian menurut catatan itu.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar prestasi hebat atlet para negara bukan sahaja dapat dikekalkan, malah dipertingkatkan di kejohanan akan datang.

Kontinjen negara yang diwakili 144 atlet menamatkan cabaran kali ini dengan cemerlang apabila meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 28 gangsa untuk menduduki tangga keempat carta pingat.

Sebelum ini, kontinjen negara menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada APG 2023 di Phnom Penh. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast