Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tiga dari kanan) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri. di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Sukan catur, kabadi, kriket, silambam dan sofbol bakal dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, permohonan kemasukan kelima-lima sukan itu diterima secara bersama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri yang diadakan pagi tadi.

“Keputusan bersama telah dibuat oleh semua exco dan bersetuju untuk menerima masuk lima daripada tujuh sukan yang telah diminta untuk dimasukkan dalam SUKMA 2024. Lima sukan itu ialah catur, kabadi, kriket, silambam dan sofbol.

“Faktor pertimbangan adalah kerana sukan-sukan berkenaan mempunyai kejohanan remaja kebangsaan mereka.

“Sarawak selaku penganjur SUKMA 2024 dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai penganjur SUKMA 2026 telah bersetuju untuk menerima masuk lima sukan ini supaya ada kesinambungan perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri.

Sebagai rekod pada Mac lalu, empat sukan tambahan iaitu E-Sukan, Muay Thai, Petanque dan tinju ditambah untuk dipertandingkan pada SUKMA 2024.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, kesemua sembilan sukan berkenaan perlu disertai secara minimum enam negeri sebelum dipertandingkan di Sarawak tahun depan.

“Kita ada 28 sukan teras, sembilan sukan tambahan ini perlu penyertaan sekurang-kurangnya enam negeri sebelum dipertandingkan di Sarawak.

“Persatuan sukan semua perlu ada peranan masing-masing bagi memastikan sukan itu popular sebelum negeri itu bersetuju untuk menghantar penyertaan bagi sukan tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hannah berkata, temasya dwi tahunan itu kali ini akan berlangsung di lapan bahagian di Sarawak iaitu di Betong, Bintulu, Kuching, Miri, Mukah, Samarahan, Sibu, dan Sri Aman.

“Cuma ada satu sukan sahaja yang akan dipertandingkan di Semenanjung kerana fasiliti tersebut belum siap di Sarawak iaitu acara velodrom danĀ  acara trek berbasikal,” katanya. -MalaysiaGazette