Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

ALOR GAJAH – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa diingatkan supaya menghentikan provokasi tak masuk akal apabila mendakwa lebih dua juta ahli parti itu sudah meninggalkan parti tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, dakwaan Presiden Muafakat Nasional (MN) itu ternyata hanyalah andaian yang tidak berlandaskan fakta.

“Jadi saya nak nasihatkan kekanda saya, Tan Sri Annuar Musa…kalau nak buat provokasi pun, pakailah kalkulator politik terbaik.

“Masa saya Setiausaha Kerja UMNO dulu, ada kira-kira 3.3 juta ahli, (kalau) dua juta sudah keluar (maknanya), tiga per empat cawangan-cawangan kita seluruh Malaysia akan ditutup dan telah pun dibubarkan kalau itulah kaedah yang dikatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-off Fasa 2 dan 3 kepada 316 nelayan Melaka Barat di Kompleks JAPERUN Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Annuar ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Perikatan Nasional (PN) di Senawang, malam Sabtu lalu, mendakwa lebih dua juta ahli UMNO sudah meninggalkan parti itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, sambutan baik ahli UMNO juga dapat dilihat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu lalu.

“Kita lihat sambutan PAU kali ini kali ini jauh lebih baik daripada selepas pilihan raya yang lepas jadi jadi kalau nak buat provokasi pun, agak-agaklah,” katanya. – MalaysiaGazette