KUALA LUMPUR – Lebih 300,000 pasangan mengunakan perkhidmatan subfertiliti Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak 1979 hingga April tahun ini bagi mendapatkan zuriat
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu berkata, purata antara 1,500 hingga 2,000 pasangan menggunakan perkhidmatan tersebut setiap tahun.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 40,576 kes baru dan 262,657 kes ulangan telah dicapai.
“Purata jumlah kes baru adalah di antara 1,500 hingga 2,000 kes setiap tahun, manakala jumlah kes ulangan yang boleh mencecah 9,000 kes setiap tahun.
“Ini jelas orang awam menyambut baik perkhidmatan yang ditawarkan oleh Klinik Subfertiliti LPPKN ini serta menunjukkan keyakinan pasangan-pasangan ini untuk terus mendapatkan perkhidmatan dan rawatan ulangan di sini,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib (BN) yang meminta kementerian menyatakan sambutan orang ramai terhadap Perkhidmatan Subfertiliti LPPKN dan adakah objektifnya tercapai.
Aiman Athirah berkata, berdasarkan Data Profil Klien Subfertiliti LPPKN 95% daripada pasangan yang mendapatkan perkhidmatan adalah kumpulan sasaran utama iaitu golongan berpendapatan sederhana dan ke bawah.
Sebanyak 27,216 prosedur rawatan subfertiliti telah dijalankan sehingga kini dengan pencapaian kehamilan melebihi 6,000 klien iaitu sekitar 22%.
“Kadar kejayaan ini adalah setanding dengan pusat-pusat rawatan kesuburan di Malaysia mahupun antarabangsa,” kata beliau.
Rawatan subfertiliti LPPKN pada masa ini ditawarkan di tiga klinik mengikut zon, iaitu Klinik Subfertiliti Pulau Pinang (Zon Utara), Klinik Subfertiliti Kuala Lumpur (Zon Tengah) dan Klinik Subfertiliti Johor Bahru (Zon Selatan).
Perkhidmatan seperti kaunseling, ubatan kesuburan dan prosedur khusus seperti Intrauterine Insemination (IUI) serta Teknologi Bantuan Konsepsi termasuk ln-Vitro Fertilization (IVF) dan Intra-Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) ditawarkan pada kos yang jauh lebih murah berbanding perkhidmatan yang sama di fasiliti swasta.
Semua pasangan berkahwin layak mendapatkan rawatan di klinik-klinik terbabit. -MalaysiaGazette