Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie

BUTTERWORTH – Berang dimarah menggunakan perkataan kesat, dipercayai punca seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam rakan sekerjanya dalam kejadian di Taman Mesra Jaya di sini, pada Sabtu lalu.

Mangsa berusia 33 tahun yang juga pekerja sebuah kilang perabot itu dikatakan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya sebelum kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, bertindak atas maklumat pihak polis menjalankan siasatan sebelum membawa kepada tangkapan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 28 hingga 40 tahun di Jalan Heng Choon Thian di sini dan di sebuah rumah di Permatang Pauh, semalam.

Jelas beliau, tangkapan bermula jam 10 malam hingga 2 pagi itu membabitkan dua majikan mangsa dan suspek utama yang juga pekerja pembuatan kabinet dapur.

“Siasatan polis mendapati berlaku pertengkaran mulut antara suspek utama dengan mangsa ketika masing-masing mereka berada dalam keadaan mabuk sebelum mangsa ditikam di bahagian perut.

“Turut dirampas dalam serbuan itu beberapa telefon bimbit serta pisau dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga diminta tampil bagi membantu siasatan atau menyalurkannya di balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette