Onn Hafiz ketika sambutan Hari Jururawat Antrabangsa 2003 peringkat Negeri Johor baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor hari ini melahirkan penghargaan dan terima kasihnya kepada Menteri Kesihatan kerana meluluskan peruntukan khas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor terhadap masalah di dua buah hospital di negeri itu.

Hospital berkenaan membabitkan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang menghadapi kekurangan aset perubatan serta sumber manusia terutamanya pegawai perubatan dan jururawat.

Terbaharu Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM771,600 bagi pembelian aset perubatan dan bukan perubatan untuk membolehkan kedua-dua wad berkenaan dibuka segera.

Antara keperluannya adalah set katil, Defib With Pacing, Basic Dinamp, Vital Sign 4 Channel, ECG Machine, Portable X-Ray Viewer dan lain-lain.

“KKM telah meluluskan peruntukan khas dan selain itu, waran peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM634,916 telah diturunkan juga kepada Jabatan Kesihatan Neger Johor bagi perolehan aset bukan perubatan (ABR) untuk memenuhi keperluan yang mendesak di kedua-dua HSI dan HSA.

“Alhamdulillah bagi pihak JKNJ saya berterima kasih kepada Dr Zaliha Mustafa dan tidak lupa juga kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zulkapli Mohamed dab TKSU KKM, Datuk Norazman Ayob,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zaliha dalam kenyataannya memberitahu, KKM turut berterima kasih atas keprihatinan semua pihak dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik diberikan kepada rakyat.

“Usaha sedemikian dengan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat adalah antara perkara penting yang digariskan melalui Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Jun 2023.

“Ini adalah demi menjamin kesaksamaan dan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih mampan serta ianya kalis masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kemaskini data dan pemetaan juga dilaksanakan bag memastikan agar tiada berlaku maldistribusi petugas malah ia dapat mengenal pasti keperluan dan kehendak optimum operasi di mana-mana hospital mahupun klinik kesihatan tersebut.

“Saya mengambil maklum mengenai lawatan mengejut YAB Menteri Besar Johor ke HSI dan HSA Johor Bahru baru-baru ini. Ia berhubung penutupan dua wad dan 10 bilik pembedahan berikutan kekurangan aset perubatan serta sumber manusia terutamanya pegawai perubatan dan jururawat sememangnya dalam perhatian KKM.

“Namun demikian, penyelesaian segera sedang dalam tindakan KKM dengan kerjasama agensi pusat. JKN Johor akan menerima 35 orang jururawat perjawatan tetap dan perjawatan-perjawatan lain termasuk Penolong Perubatan Kesihatan,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, MalaysiaGazette melaporkan Menteri Besar Johor merayu kerajaan Persekutuan agar dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat di HSI dan HSA, dalam kadar segera. – MalaysiaGazette