Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

KUCHING – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata kontraknya yang akan tamat hujung bulan ini telah disambung.

Tanpa menyelidik butiran kontraknya, beliau berkata pemegang saham dan ahli lembaga pengarah Petronas akan menjadi pihak yang menjawab perkara itu.

“Kontrak saya telah dilanjutkan, dan saya rasa setakat itu yang saya boleh katakan. Selebihnya, anda perlu mendapatkan komen daripada pemegang saham dan lembaga pengarah,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) Edisi Kelima di sini hari ini.

Pada Jun 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu mengumumkan pelantikan Tengku Muhammad Taufik sebagai Presiden dan CEO kumpulan syarikat minyak negara itu.

Berkuat kuasa 1 Julai, 2020, Tengku Muhammad Taufik menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Malaysian Airlines Bhd yang baharu.

Sementara itu, mengulas tema IEW tahun ini iaitu ‘Peralihan Ke Arah Masa Depan Karbon Sifar Bersih’, Tengku Muhammad Taufik berkata walaupun peralihan sifar bersih adalah jalan ke hadapan, tetapi tidak perlu ada ada satu pendekatan tunggal, terutamanya di Asia yang mana negara-negara rantau itu memiliki tahap ekonomi dan kemajuan yang berbeza.

“Jangan silap, semua orang mengakui perubahan iklim adalah nyata, terdapat keperluan bagi menangani pemanasan global, dan kami juga harus mengakui untuk mematuhi had Perjanjian Paris.

“Tetapi dengan mengenakan hanya satu kaedah sebagai cara yang betul adalah tidak terpakai, terutamanya bagi konteks Asia yang mana kita masih perlu berkembang, terdapat hak untuk kemakmuran. Kita mempunyai negara yang mempunyai tahap kekayaan dan kemajuan ekonomi yang berbeza. Anda tidak boleh mengenakan satu kaedah, satu pendekatan kepada setiap negara di Asia,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata Sarawak telah mengambil pendirian untuk pandang ke hadapan dalam menyediakan ekosistem tenaga penyahkarbonan.

“Ia adalah satu cabaran kerana teknologi masih perlu matang, tetapi langkah pertama mereka (Sarawak) untuk berada di kedudukan itu (adalah terpuji) sama ada (contohnya) bekerjasama dengan kami (Petronas) untuk mengusahakan bahan api bio berasaskan alga untuk bahan api penerbangan yang lebih mampan dan banyak lagi inisiatif lain.

“Bersama-sama dengan menghijaukan sistem tenaga dan elektrik melalui lebih banyak kuasa hidro, saya rasa langkah yang diambil oleh Sarawak sememangnya untuk menyediakan ekonominya ke arah pengurangan karbon,” tambah beliau.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast