SHAH ALAM – Seorang penganggur yang berang kerana tidak dipanggil dengan gelaran abang dan baby hari ini didenda RM300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam di sebuah restoran di Subang Jaya, awal bulan ini.
Pengakuan itu direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, di Mahkamah Majistret 2, di sini.
Mengikut pertuduhan, Mohd Asri Abdullah, 50, melakukan mudarat awam sehingga menyebabkan kegusaran kepada orang awam pada 4 Jun 2023, kira-kira jam 9 pagi.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM400.
Terdahulu, tertuduh enggan merayu bagi meringankan hukuman denda sehingga RM400 setelah Majistret memberi peluang berbuat demikian.
Majistret kemudiannya menetapkan hukuman denda RM300 dan jika gagal membuat bayaran, boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh hari.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Sofea Norazman dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh yang mengenakan baju kemeja berwarna biru dan memakai pelitup muka diiringi anggota polis tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam, kira-kira jam 10 pagi tadi.
Sebelum ini, seorang lelaki mengamuk selepas pekerja sebuah restoran di Putra Heights, Subang Jaya dikatakan enggan memanggilnya ‘abang’ atau ‘baby’ ditahan polis di Batu Caves, Sabtu lalu.
Suspek ditahan di sebuah pusat dobi layan diri pada jam 1 pagi.
Sebelum ini, klip video memaparkan suspek mengamuk secara tiba-tiba sehingga mencederakan seorang kanak-kanak tular di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi 6 Jun lalu, suspek lelakiitu dikatakan meminta mangsa memanggilnya dengan gelaran ‘abang’ atau ‘baby’.
Tindakan mangsa yang juga lelaki tempatan memanggilnya ‘pakcik’ membuatkan suspek berang lalu mengamuk sebelum membaling makanan serta minuman panas sehingga terkena seorang kanak-kanak berusia empat tahun.
Suspek terus dilihat agresif dengan memaki hamun dan mengugut akan merosakkan harta benda. – MalaysiaGazette