Orang awam menggunakan kemudahan troli beli-belah pintar selepas Majlis Pelancaran EzyCart Smart Shopping Trolley di Shaftsbury Alamanda, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 13 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Industri peruncitan kini semakin berevolusi dengan kewujudan troli beli belah pintar atau ezyCart.

Menerusi troli berkenaan, pembeli akan dapat merasai pengalaman baru membeli belah di pasar raya dengan skrin pada troli yang memaparkan maklumat produk, promosi jualan dalam kedai dan pilihan membuat pembayaran terus.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kewujudan teknologi baru ini dilihat memajukan landskap industri runcit dalam negara dengan teknologi AI.

“Inisiatif teknologi baru ini dapat menyepadu, mempertingkatkan dan mendigitalkan perniagaan sedia ada. Inisiatif ini juga mampu menghasilkan penyelesaian global yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya ketika berucap majlis perasmian.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NanoMalaysia Berhad, Dr Rezal Khairi Ahmad dan Pengasas bersama Retailetics Sdn Bhd, Shaji Rajapoan dan Manirajah Kulanthavelu.

EzyCart ialah teknologi yang dibangunkan oleh NanoMalahsia Berhad dengan kerjasama Retailetics yang merupakan sebuah syarikat penyedia penyelesaian automasi runcit berdasarkan kecerdasan buatan atau AI.

Lih Kang berkata, sasaran projek ezyCart adalah kumpulan peniaga dan pengguna selain pihak berkepentingan yang berpotensi menjalankan kerjasama.

“Maklumat seumpama ini mampu meningkatkan nilai produk sesebuah jenama, bilangan pengunjung, nilai jualan dan menarik pelanggan kembali ke pasar raya yang berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Redtick adalah rangkaian pasar raya pertama di Malaysia yang menggunakan troli beli belah pintar berkenaan. -MalaysiaGazette