GEORGE TOWN – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) B akan mewakili negara untuk pertandingan Robocon peringkat Antarabangsa yang akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja tidak lama lagi.
Ia susulan pasukan itu dinobatkan pemenang Pertandingan Robocon Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia.
Pengurus pasukan UTM, Mohd Ridzuan Ahmad berkata, pihaknya akan memperbaiki kelemahan teknologi robotik mereka untuk pertandingan akan datang.
Katanya, persiapan lebih rapi akan dilakukan kerana pihaknya percaya saingan lebih hebat bakal diterima pasukan menerusi pertandingan antarabangsa tersebut.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kerana dua pasukan dari UTM iaitu UTM A dan UTM B bertebus bersama sendiri peringkat akhir Robocon Malaysia 2023.
“Seramai 28 orang pelajar dan terdiri daripada tiga fakulti iaitu fakulti elektronik, fakulti mekanikal dan fakulti komputeran bergabung untuk menyiapkan robot untuk pertandingan peringkat kebangsaan ini.
“Jadi segala pergorbanan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila dinobatkan johan dan juga naib johan dalam pertandingan kali ini,” katanya di sini hari ini.
Untuk rekod, naib johan bagi pertandingan Robocon disandang oleh UTM A, diikuti pasukan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) A di tempat ketiga dan International Islamic University Malaysia (IIUM) Roboteam di tempat ke empat.
Pertandingan tersebut berjalan selama empat hari bermula 10 Jun lalu. – MalaysiaGazette