Pelbagai jenis buku yang boleh didapati di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2023.

ACARA terbesar bagi pencinta buku atau sejenis yang menyukai akan perkara bersifat perbukuan di tanah air telah menutup panggung. Acara anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) pada tahun ini merekodkan jumlah seramai 1.43 juta pengunjung dan kemungkinan mencecah angka 1.5 juta pada hari penutupnya. Tiada rekod khusus yang dikeluarkan mengenai jumlah keseluruhan pendapatan daripada acara ini. Umumnya, jika 1.5 juta pengunjung mengeluarkan RM10 minimum atau RM100 maksimum, pesta buku adalah acara bernilai setidak-tidaknya antara RM15 juta ke RM150 juta. Sebuah acara yang besar untuk skala nasional. Bermaksud, ia mendapat tempat dalam budaya perdana.

Budaya membaca semakin berkembang baik di tanah air. Dengan pertambahan jumlah pengunjung saban tahun bolehkah kita membuat unjuran mudah bahawa semakin bertingkat juga angka pembaca di Malaysia serentak dengan pertambahan jumlah buku yang diterbit.

Penerbitan buku digunapakai oleh UNESCO sebagai satu daripada kriteria taraf negara maju dengan jumlah penerbitan yang ditetapkan sebanyak 1 % bagi setiap juta penduduknya. Di Malaysia sebanyak 19,713 judul buku direkodkan terbit pada tahun 2017.

Data semasa daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) adalah sebanyak 35,000 judul penerbitan buku dalam tempoh setahun dapat diterbitkan di tanah air menjelang 2030 seiring pertumbuhan demografik rakyat Malaysia yang dijangka mencecah seramai 35 juta orang. Bermaksud, kita akan bergerak mencapai salah satu kriteria penting negara maju agar jumlah penerbitan buku-buku baru mencapai 1% daripada nisbah penduduk. Suatu isyarat positif yang patut disambut baik.

PBAKL 2023 tahun ini kiranya sedang menurut rentak berkenaan. Bukan kepalang kita menyaksikan hangat para pedagang dan pencinta buku, penulis dan penerbit melumbai tajuk-tajuk baharu dan bersiap hampir setahun untuk menyambut perayaan besar berkenaan. Mereka menantikan pengunjung daripada pelbagai kalangan, orang awam, mahasiswa, pelajar, guru-guru yang membawa rombongan sekolah, ibu bapa yang membawa anak-anak. Pesta buku adalah taman kekeluargaan, pesta yang mendapat kebenaran moral untuk dirayakan.

Hidangan dan pelanggan

“Some books are to be tasted, others to be swallowed, and some few to be chewed and digested; that is, some books are to be read only in parts; others to be read, but not curiously; and some few are to be read wholly, and with diligence and attention.” – Francis Bacon, The Essays

Terlepas daripada isi dan maudhuk tawaran buku yang didakwa penuh dengan lambakan genre bernuansa agama dan buku ‘sembuh’ yang membuai perasaan melankolik pembaca, PBAKL 23 tetap dalam kelas terpuji berbanding pesta-pesta lain. Mengenai buku dalam kategori berkenaan yang menjadi pilihan penerbit untuk dicetak dan dijual, ia tidak muncul tanpa permintaan pasaran. Pelanggan yang menjadi faktor penentu permintaan dan penawaran seperti dalam keluk asas ekonomi menjadi faktor mempengaruhi. Walaupun jumlah pembeli buku bukanlah ukuran objektif budaya membaca berbanding ukuran jumlah jam membaca di Malaysia yang relatif rendah. Purata rakyat Malaysia memperuntukkan masa sebanyak 3 jam seminggu berbanding India 10 jam, Thailand dan China antara 8 – 9 jam. Perkiraan ini lebih mendekati kenyataan perihal membaca berbanding jumlah pembeli buku.

Pemilikan buku telah menjadi satu hobi terpilih yang mempunyai nilai tarik. Terdapat penulis yang membahagikan gelagat pembeli buku kepada beberapa terma yang merujuk tingkah laku mereka. Pertama, bibiliofilia iaitu gelagat cintakan buku dan ehwal pembacaan. Kategori ini membeli, menelaah, menghadiri wacana beraitan perbukuan dengan partisipasi aktif. Setengah mereka turut terlibat menulis sebagai akibat hiliran daripada minat mereka.

Kategori kedua ‘’Tsundoku” yang dapat ditelusuri daripada bahasa Jepun merujuk tingkah laku mengumpul buku di rumah tanpa membacanya. Ia merupakan gabungan perkataan “tsunde-oku” yang bermaksud melonggokkan sesuatu kemudian meninggalkannya, dan perkataan “dokusho” yang bermaksud membaca buku.

Seorang peminat buku dan penulis, Dr Zahrah Yunos menuliskan pada setengah keadaan jika tujuan membeli buku hanya kerana melayan kompulsif membeli atau menunjuk-nunjuk bahawa kitalah pengumpul buku terbanyak, ia bukanlah sesuatu yang sihat. Seperti seorang pembeli kompulsif yang asyik membeli beg dan pakaian, masalah ini juga boleh melanda orang yang suka membeli buku. Hinggakan perkataan bibliomania telah diwujudkan bagi merujuk kepada masalah kecelaruan obsesif-kompulsif dalam mengumpul buku. Ia boleh membawa kesan buruk sehingga mengganggu hubungan sosial dan kesihatan seseorang. Beliau turut mencontohkan perihal Thomas Phillipps, pengumpul buku dari United Kingdom bercita-cita memiliki setiap buku yang ada di dunia sehingga sanggup membebankan keluarganya dengan hutang. Pada akhir hayatnya, Thomas Phillipps memiliki kira-kira 40 ribu buah buku dan 60 ribu manuskrip di dalam koleksinya. Selepas kematiannya pada tahun 1872, buku-buku tersebut mengambil masa lebih 100 tahun untuk dihabiskan melalui jualan kepada individu dan perpustakaan di seluruh dunia.

Satu lagi gejala bukuwan yang diberikan perhatian ialah lingkaran elitisme terhadap ilmu. Pada paras umum, label elitis dirasakan negatif. Apa jua pendirian diambil, elitis sebagai suatu konsep sosiologi adalah suatu hal yang pasti jika label itu ditiadakan sekalipun.

Memang ada kelompok yang mendedikasikan diri mereka dalam khalayak elit falsafi dengan memperbahaskan soal ilmu. Sebilangan kecil yang dapat menjamah kelazatan maudhuk bicara mereka tanpa dapat ditumpahkan ke ribaan masyarakat. Khalayak ini menghidangkan ia seperti persembahan derajat sosial. Jika tiada yang menjambatani ke tengah dada ummat, tiadalah yang dapat dilimpahkan manfaat.

Penulis sedikit lama berada sekitar kelompok ini dahulu merasakan keasyikan di medan berkenaan tidak dapat menjawab perut orang miskin. Berdengung melantunkan falsafah dan melenggokkan istilah bombastik tetapi di luar jendela ramai yang menderita, tidak terasa hatta secubit suguhan mereka. Deria yang tumbuh dapat melihat dunia ini tidak berubah banyak oleh orang yang terawan di balik kumpulan elitisme. Para aktivis, pelaku, pemain di lapangan lumpur dan kumuh itulah yang akan memberi bekas.

Kita perlukan suapan kelompok intelektualis, rausyanfikir, ideolog tanpa merendahkan malah menggalakkan gandingan aktivis merencana dasar, memindah dan memperjalankan fahamnya ke tanah.

Kita punya ramai pemikir, tetapi tidak ramai yang dapat mencipta gerakan dan membuahkan gelombang yang dapat dirasai. Ada kalangan mereka yang fikiran dan bahasanya terapung tidak dapat didaki oleh khalayak. Isi gagasannya yang baik dan bermanfaat itu tidak terhadam dan memberi bekas kepada masyarakat.

Golongan ini berbicara tentang kepedulian terhadap orang tertindas, tapi, fikirannya itu sendiri ditindas oleh pemujian berlebihan terhadap definisi berjela-jela berbanding tindakan kerja di lapangan.

Apa selepas buku?

Kami mahu anjurkan jika boleh diperbanyakkan pemikir-pelaksana, think-do, intelektual-aktivis, yang berfikir dan menjalani fikirannya di lapangan. Mereka idealog, juga pekerja. Bukan sebatas ahli teori, tapi dialah juga ahli amali. Dicuba padankan teksnya itu dengan konteks di lapangan.

Dapatan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung membunuh diri. Ia seharusnya jadi bom jangka yang mengejutkan kita. Kemiskinan telah menghambat lebih ramai orang melihat dunia luas ini hanyalah kubur yang sempit. Ini tidak berlebihan. Para idealis terapung sila merasakan berada di gerobok mereka berdiam bagaimana baranya derita mereka itu terpendam.

Manakala, orang kaya akan menjadi sangat kaya. Jurang gaji antara kelas pekerja dengan Ketua Pegawai Ekeskutif (CEO) sudah semakin jauh melebar. Gaji minimum di Malaysia RM1,500 menurut seperti yang diwartakan kerajaan. Realitinya, terdapat yang menerima bayaran gaji lebih rendah daripada paras berkenaan. Manakala gaji tertinggi direkodkan dalam laporan ShariahScreener mencecah amaun RM12 juta/sebulan pernah diterima CEO Malaysia.

Malaysia Human Development Report 2013, Jabatan Perangkaan Malaysia & SmallBusinessPrices.co.uk menyebutkan angka perbandingan yang amat membingungkan. Laporan berkenaan merekod, nisbah gaji Ketua Pegawai Eksekutif dan pekerja am di Malaysia meningkat daripada 98 mata pada tahun 2010 kepada 141 mata pada tahun 2019.

Difahami bahawa, bagi setiap RM1 yang dibayar kepada pekerja bawahan, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) syarikat akan menerima RM141 dan apa yang lebih membimbangkan adalah jurang ini semakin besar berbanding dengan apa yang direkodkan pada tahun 1990, yang mana nisbah gaji KPE dan pekerja hanya 30 kali ganda.

Kita juga berdepan kesan-kesan lain yang menuntut lebih ramai para pencinta buku dengan segenap upaya pengetahuan dan latihan intelek yang mereka dapati daripada budaya yang sihat ini untuk tampil menjawab. Fenomena cuaca ekstrem kesan ketidaklestarian pembangunan. Pelajar berhadapan ancaman nyawa akibat kesan strok haba, sekolah dicutikan, pelajar disekat daripada sebarang aktiviti luar kelas bagi mengelak gelombang haba yang akan mengakibatkan lebih banyak mudarat.

Tanah air kita juga berhadapan ancaman banjir besar yang berlaku tanpa dapat dikawal kesannya. Ia dapat dimitigasi daripada lebih melibatkan banyak kerugian dengan campur tangan kumpulan masyarakat. Greta Thunberg nama yang sering dimajukan sebagai contoh. Dia membaca tentang data-data mengenai pembangunan yang tidak seimbang, kesedarannya itu ditelan dan membuahkan gerakan massa ‘Friday for Future’ sebagai manifestasi desakan terhadap kerajaan agar tidak berwenang merosakkan alam sekitar yang menjadikan kesan bencana alam, kenaikan suhu bumi, banjir dan pelbagai lagi.

Inilah kita harapkan kepada para bukuwan dan pencinta buku dan kata-kata. Kita tidak mahu hidup di atas tumpukan buku sehingga badan jadi beku. Kita sanggup membaca tapi tiada sanggup bekerja. Bacaan itu rupanya mematikan langkah hidup.

Menurut kami, kefahaman ini salah benar daripada semangat faham ilmu/falsafah yg dianuti. Puncak pengetahuan adalah perbuatan. Memberi khidmat kepada Tuhan, menyebar sejahtera pada kemanusiaan. Semakin membaca, semakin mahu bekerja. Rongga aqal diisi dengan buku, rongga badan diisi makan. Dan bukankah pekerjaan memberi makan kepada insan, kepada lautan orang-orang kecil yang memerlukan itu bahagian daripada kemuliaan yg seharusnya dikerjakan oleh orang-orang yg berpengetahuan? Mari seimbangkan. Baca dan kerja (think do).

Sebagaimana sekalipun kita mengkritisi soal bibilofilia, bibliomania, tsundoku ini, sikap mereka terhadap mengukuhkan budaya ilmu tetap kita hargai. Daripada sikap ini lahir pujangga dan pemimpin bangsa. Kelompok ini menyita banyak waktu menelaah seperti mana kita menghormati mereka yang memerah keringat di bawah. Serta harga dan hormat kita lebih lagi kepada yang mempersandingkan keduanya dengan susah payah.

“Buku adalah sahabat karib, tetapi harus kita hati-hati. Mentang-mentang bersahabat karib dengan buku, janganlah diputuskan persahabatan dan pergaulan dengan manusia. Banyak ulat buku yang putus pertaliannya dengan manusia, hanya fikirannya yang menerawang, tetapi beku bergaul.

Lidahnya beku, kerana buku! – Ajaib!” – Buya Hamka

Marilah dengan buku, kita melawan beku, mengalir dan membasahi tanah air dengan sentuhan, jasa, budi dan torehan yang mengangkat karamah keinsanan.

Muhamad Hanapi Jamaludin
Presiden Benevolent Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast