Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak

KUANTAN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang menyediakan Prosedur Pelaksanaan Penyembelihan Luar Ibadah Korban Negeri Pahang pada tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, ia bagi memastikan aktiviti penyembelihan berjalan dengan lancar dan lebih bersistematik.

”Ini bagi memastikan aktiviti penyembelihan ternakan korban dilaksana dengan teratur, bersih, dan mengambil kira aspek status penyakit ternakan, kebajikan haiwan dan keselamatan makanan.

”Antara yang dibenarkan beroperasi pada tahun 2023 untuk penyembelihan ternakan korban boleh dilakukan di Rumah Sembelih Dibenarkan Sementara (RSDS) iaitu kandang, tempat sembelih yang mempunyai kemudahan sembelih,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, tempat yang dibenarkan bagi tujuan penyembelihan ibadah korban ialah di tanah lapang awam seperti padang awam, balai raya, premis-premis kerajaan termasuk masjid dan surau.

”Pada tahun ini, tempat-tempat persendirian seperti rumah individu, Maahad Tahfiz atau pondok persendirian dan premis persendirian dibenarkan untuk melaksana penyembelihan ternakan korban.

”Bagaimanapun, premis ini perlu menepati syarat yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Soffi berkata, sebanyak 756 haiwan ternakan direkodkan bagi aktiviti penyembelihan korban yang melibatkan 560 ekor lembu, 83 ekor kerbau dan 113 ekor kambing bebiri 113 ekor sejak Mei lalu sehingga semalam.

Menurutnya, pertambahan permit pergerakan dijangka meningkat sebelum Hari Raya Aidiladha. – MalaysiaGazette