PORT DICKSON – Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam usaha untuk mempertingkatkan ekonomi di Negeri Sembilan termasuk pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menyokong pembangunan MVV 2.0, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Air dan Sumber Asli dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti inisiatif pelaburan yang telah dikemukakan Kerajaan Negeri Sembilan.
“Saya juga berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memberi kerjasama dan tumpuan dalam memajukan dan membangunkan pembangunan di kawasan MVV 2.0 serta diberi keutamaan agar pembangunan MVV2.0 dapat dilaksanakan secara teratur dan inklusif.
“Usaha ini akan membawa manfaat kepada semua pihak khususnya rakyat Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada peluncuran Projek Katalis MVV 2.0 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar menambah, pelan perancangan yang baik perlu dikemudi dengan baik dan kepimpinan yang mantap berasaskan kepada integriti yang tinggi diperlukan untuk memacu kejayaan dan kecemerlangan negara.
Menurut beliau, kepimpinan negara di semua peringkat sama ada Persekutuan, negeri dan PBT perlu diterajui oleh mereka yang pakar atau ahli dalam bidang masing masing.
“Peranan pemimpin untuk memacu kemajuan di setiap daerah, negeri dan negara amat kritikal dan keseluruhan kepimpinan di semua peringkat perlu bersatu dan bersepakat untuk berusaha memajukan negara dan membawa kesejahteraan kepada rakyat,” jelasnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, semua pihak perlu memastikan industri berimpak tinggi yang menggunakan teknologi dan kaedah proses automasi memasuki negara ini.
Beliau berkata, industri tersebut akan memerlukan pekerja yang berilmu dan berkemahiran di mana usaha itu secara tidak langsung akan memastikan pekerja-pekerja tempat mendapat hasil upah yang lebih lumayan dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Untuk memperkasakan pekerja di negara ini, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu diperkukuhkan untuk melahirkan pekerja yang efektif yang boleh mengoptimumkan produktiviti yang akhirnya akan mempertingkatkan daya saing negara,” katanya.
Anwar memberitahu, selain membuka peluang pekerjaan yang berkualiti, semua pihak perlu memastikan usahawan-usahawan tempatan mendapat peluang untuk bersama dalam ekosistem industri tersebut serta berlaku pemindahan teknologi kepada syarikat-syarikat tempatan. – MalaysiaGazette