Suasana di hadapan wad kecemasan di mana pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dirawat akibat diserang strok haba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 17 OGOS 2018.
Gambar hiasan

PEKAN – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun mengalami gejala strok haba setelah berlari sejauh 4 kilometer (km) hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nur Azimi Yunus berkata, pelajar berusia 15 tahun itu didapati tidak sedarkan diri semasa melakukan aktiviti di sebuah sekolah, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan awal di Hospital Pekan mendapati pesakit mengalami simptom
seperti suhu badan terlampau tinggi iaitu melebihi 39 darjah selsius, degupan jantung
meningkat serta percakapan dan fungsi otak terjejas.

“Satu kes heat exhaustion telah dirujuk dari Hospital Pekan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang. Beliau telah diberi rawatan hidrasi dan rawatan supportive.

“Pesakit dimasukkan ke ICU HTAA dan keadaan beliau semakin stabil,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan menghadkan aktiviti di luar ketika cuaca panas, gunakan pelindung diri dan sentiasa mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan serta sentiasa
mengawasi gejala keletihan dan strok haba.

Orang ramai juga dinasihatkan agar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas. – MalaysiaGazette