KUALA LUMPUR – Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Penjara Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution turut mengesahkan beliau menerima makluman permohonan lawatan tersebut daripada Ketua Pengarah Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Jelas beliau, kebenaran berkenaan tersebut adalah berdasarkan Bahagian 10, Peraturan 86, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 mengenai perhubungan banduan dengan saudara-mara dan rakan-rakannya iaitu kebenaran khas lawatan diberikan oleh Ketua Pengarah Penjara atau menteri.
“Kebenaran khas adalah daripada Ketua Pengarah Penjara atau saya. Ketua pengarah penjara maklum kepada saya dan saya tahu. Proses seterusnya diberikan oleh Ketua Pengarah Penjara, yang penting Ketua Pengarah maklumkan pada saya dan saya ambil maklum.
“Soal macam mana dia memaklumkan kepada timbalan perdana menteri, itu proses seterusnya,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen.
Tambahnya, lawatan yang membawa makanan dari luar pula tertakluk kepada Bahagian 10, Peraturan 99 yang tertakluk kepada kebenaran lawatan.
“Tiada seorang pun pelawat boleh dibenarkan membawa masuk apa-apa makanan dari luar melainkan jika dibenarkan pegawai yang menjaga.
Tambah Saifuddin, tempoh masa lawatan juga bergantung kepada budi bicara pegawai yang bertugas mengiringi pelawat berjumpa dengan banduan di dalam penjara.
“Saya nak sebut yang dikatakan bahawa dia (Zahid) bawa alat elektronik itu tak betul, saya bercakap sendiri dengan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. Siapa pun masuk, dia kena lalui pemeriksaan macam biasa tak kira pangkat.
“Soal masa jumpa 30 minit ke, 40 minit ke, 45 minit, pertemuan itu dengan kehadiran pegawai penjara. Jadi pegawai penjara adalah pihak yang mempunyai autoriti untuk membuat keputusan pada masa itu.
“Jadi, seperti mana saya sebut tadi, Peraturan 86 dan 99, dari hal izin melawat dan juga makanan, begitu jugalah tempoh masa, pegwai yang menyelia pada ketika itu yang akan membuat pertimbangan berapa lama lawatan itu dibenarkan.
“Saya pun dulu pernah melawat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh dan kadang-kadang saya dapat jumpa 15 minit, kadang saya dapat 30 minit. Jarang jarang sangat saya dapat 45 minit, ia bergantung kepada budi pegawai masa itu,” ujarnya.- MalaysiaGazette