BATU KAWAN – Seorang anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) maut dilanggar ketika sedang memberikan bantuan kepada pemandu sebuah kereta yang mengalami kerosakan di Kilometer 11.6 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung, hari ini.
Kejadian jam 8.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Musyiri Bakar, 49, meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berhenti di lorong kecemasan bagi memberikan bantuan kepada pemandu kereta Perodua Viva susulan mengalami kerosakan.
Jelasnya, bagaimanapun, sebuah lori lima tan yang dipandu lelaki berusia 26 tahun hilang kawalan ketika melalui jalan tersebut sebelum terbabas melanggar pacuan empat roda mangsa.
“Akibat pelanggaran itu mangsa yang berada di hadapan kenderaan tercampak ke lorong motosikal sebelum dilanggar penunggang lelaki berusia 34 tahun.
“Mangsa mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal turut mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan pemandu lori berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.
Tambah Mohd Norazmi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk proses bedah siasat dan doktor mengesahkan punca kematian disebabkan mengalami kecederaan parah akibat kemalangan.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, JKSB dalam satu kenyataan berkata, jenazah mangsa akan dibawa ke Masjid Jamek Tasek Junjung di Simpang Ampat untuk solat sebelum dikebumikan.
“Pihak JKSB juga masing menunggu siasatan lanjut daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette