Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) tidak diteruskan oleh kerajaan kerana kurang mendapat sambutan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PTV yang dikemukakan dalam Bajet 2022 hanya ditebus kurang satu peratus daripada 4.9 juta penerima.

Katanya, jumlah itu terlalu sedikit berbanding peruntukan RM354 juta yang disediakan kerajaan untuk melaksanakan PTV bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.

“Bukan kita meninggalkan terus PTV ini, tetapi apabila Bank Negara Malaysia buat kajian daripada 8.7 juta orang yang sepatutnya menerima baucer ini, yang diuruskan 4.9 juta penerima dan yang ditebus hanya 0.01 peratus.

“Hanya 490 orang yang mendapat faedah daripada 354 juta insurans. Terlalu sedikit yang dilindungi oeh PTV ini, oleh itu kerajaan perkenalkan mySalam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad menjawab pertanyaan lisan tambahan Pang Hok Liong (Labis-PH yang ingin tahu adakah kerajaan berhasrat akan memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 dan memperuntukkan baucar untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) supaya mereka dapat menyertai pelan perlindungan seperti Perlindungan Tenang pada tahun lepas.

Jelas Ahmad lagi, mySalam merupakan inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma oleh kerajaan yang memberikan perlindungan takaful kepada individu yang layak menerima manfaat skim Perlindungan Masyarakat mySalam melalui Tabung Amanah mySalam.

“Sejak 2019, (mySalam) kita memperuntukkan RM8,000 untuk 45 jenis penyakit kritikal. Jika masuk wad, pesakit diberi RM50 sehari maksimum 14 hari. Ini bagi mereka yang berumur 21 tahun hingga 65 tahun.

“Kita juga teruskan PEKA, Skim Peduli Kesihatan B40. Perlindungan ini diberikan sejak 2018, untuk 40 tahun ke atas diberi saringan kesihatan, alat perubatan. Kita teruskan PEKA B40 dan kita teruskan khairat kematian, yang mana menerima STR dan meninggal dunia waris akan diberikan RM1,000 melalui Kementerian Kewangan.

“Tiga ini inisiatif ini kita teruskan dan PTV tidak teruskan kerana yang tebus hanya 0.01 peratus,” katanya lagi.

Untuk rekod, PTV adalah skim bantuan kewangan untuk memperluas perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.

Bermula 1 Januari 2022, baucar RM75 diperuntukkan untuk penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang layak untuk membeli/menyertai pelan Perlindungan Tenang atau memperbaharui pelan Perlindungan Tenang sedia ada daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen.

Mulai 15 Julai 2022, penerima BKM yang layak boleh menebus baucar RM75 dengan pembayaran minimum RM5.00 dan menikmati manfaat perlindungan perlindungan insurans atau takaful yang memberi perlindungan dari segi kewangan sekiranya berlaku kematian, kebakaran atau apa-apa kejadian yang tidak diingini. –  MalaysiaGazette