Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sayap bukan bumiputera Bersatu mengintai peluang untuk bertanding di 16 kerusi di Selangor yang mempunyai ramai pengundi Cina dalam pilihan raya akan datang.

Daripadanya, tiga kerusi dilihat sebagai paling berpeluang untuk dimenangi iaitu Sungai Pelek, Kuala Kubu Baharu dan Sekinchan.

Walau bagaimanapun, untuk mendapat tiket bertanding di bawah PN, Bersatu perlu bersaing dengan Gerakan terlebih dahulu.

Ketua Sayap Bukan Bumiputera Bersatu Selangor, Datuk Goh Gaik Meng berkata, pihaknya berharap dapat bertanding di 15 atau 16 kerusi dalam pilihan raya negeri dan sesetengah kerusi yang diintai adalah bertindih dengan Gerakan.

Menurutnya, pemimpin Melayu dari Bersatu juga beminat bertanding di sesetengah kawasan yang diintai sayap bukan bumiputera.

“PN akan menentukan siapakah yang mempunyai peluang kemenangan yang lebih besar,” katanya dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.

Mengulas persiangan dengan Gerakan, Gaik Meng yang sebelum ini merupakan ahli MCA berkata, latar belakang politiknya memberi kelebihan berbanding calon Gerakan.

“Saya mempunyai latar belakang MCA yang kuat walaupun telah meninggalkan MCA.

“Jika lawannya adalah DAP dan berlaku satu lawan satu, maka saya mampu menarik sebahagian sokongan daripada mereka yang menyokong MCA sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, sayap bukan bumiputera juga mengekalkan persahabatan dengan bekas penyokong PKR dan MIC selain pemimpin tempatan, satu kelebihan yang mungkin tidak dimiliki Gerakan

“Walaupun ada yang mungkin berpendapat sokongan MCA hanya tinggal lima peratus, tetapi yang tinggal itu merupakan penyokong tegar MCA yang boleh membantu kami (jika Bersatu melawan DAP),” katanya.

Sebagai rekod, Gaik Meng pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda MCA ada 2013 tetapi kalah dengan 93 undi kepada Datuk Chong Sin Woon.

Berdasarkan persefahaman awal Bersatu, Gaik Meng dicadangkan untuk bertanding di Sungai Pelek manakala seorang lagi bekas pemimpin MCA iaitu Datuk Theng Book dicadangkan untuk bertanding di Sekinchan.

Selain dua kerusi itu, tempat lain yang diintai sayap bukan bumiputera Bersatu di Selangor adalah Teratai, Subang Jaya, Kampung Tunku, Rawang, Seri Kembangan, Kinrara, Pandamaran, Bandar Baru Klang, Kajang, Balakong, Bandar Utama, Banting, Kuala Kubu Baharu dan Bukit Lanjan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast