KUALA LUMPUR -Cadangan untuk memasukkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah agensi penguatkuasaan di bawah seliaan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang diteliti secara mendalam.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ramkarpal Singh, secara idea, mana-mana agensi penguatkuasaan yang menepati tafsiran agensi penguatkuasaan di bawah Akta Agensi Penguatkuasaan 2009, boleh sertakan di bawah jadual akta tersebut.
“Justeru itu, cadangan SPRM diletakan di bawah Jadual 700 kini sedang diteliti secara mendalam dari pelbagai sudut.
“Satu nota Jemaah Menteri telah dikemukakan kepada Kabinet pada 19 April lalu untuk membincangkan hala tuju isu penyerapan SPRM dalam EAIC ini dan satu Jawatankuasa Pro-tem telah ditubuhkan.
“Selain daripada itu, pada 2 Mei satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan juga dihadiri Pesuruhjaya EIAC, SPRM, Peguam Negara bagi mendapatkan pandangan tentang isu yang dibangkitkan,” jawab beliau di Dewan Rakyat, hari ini.
Ramkarpal menjawab soalan lisan yang dikemukakan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PH) yang ingin tahu adakah kerajaan mahu meletakkan SPRM di bawah EAIC sebagai langkah mewujudkan badan bebas serta mempunyai kuasa kawalan tatatertib efektif untuk meningkatkan integriti dalam kalangan penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan juga dihadiri Pesuruhjaya EIAC (Tan Sri Mohd Sidek Hassan), SPRM, Peguam Negara pada 2 Mei lalu.
Mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan pandangan seterusnya tentang isu yang dibangkitkan sebelum ini.
“Pada 17 Mei, satu perbincangan telah dibuat antara jawatankuasa kerja untuk berbincang mengenai terma rujukan.
“Jawatankuasa Protem dianggotai oleh semua pihak yang berkepentingan akan mengesyorkan hasil dapatan bagi ketetapan dasar oleh Jemaah Menteri kelak,” katanya lagi.
Sebelum ini, Azalina berkata, Jawatankuasa Pro-tem akan mengkaji keperluan memasukkan SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC.
Perkara itu adalah satu daripada dua perkara yang menjadi fokus Jawatankuasa Pro-tem yang ditubuhkan seperti dipersetujui Jemaah Menteri pada 19 April lalu. – MalaysiaGazette