Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip

ISKANDAR PUTERI – Seramai 929 pekebun dan penternak di seluruh Johor telah mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM17.8 juta akibat bencana banjir melanda Johor pada Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip menyatakan  ia merangkumi pengusaha sub sektor tanaman agromakanan, penternakan, perikanan serta industri asas tani.

Untuk itu, katanya, satu permohonan bagi peruntukan itu telah dimajukan jabatan atau agensi berkenaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

“Permohonan bantuan itu kini di peringkat kelulusan menerusi peruntukan di bawah Tabung Bencana iaitu Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) kementerian,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) berkenaan kerugian dialami golongan berkenaan ekoran banjir besar Mac lalu.

Kata Zahari, Jabatan Pertanian Johor sahaja telah menerima sebanyak 704 permohonan bencana melibatkan tanaman padi, sayur, buah-buahan, lebah madu, cendawan serta industri asas tani (IAT) dengan anggaran kerugian RM10.3 juta.

Daerah Tangkak merekodkan jumlah permohonan tertinggi iaitu seramai 206 petani dengan kerugian RM2.1 juta, diikuti Mersing (157 petani), Segamat (108 petani) dan Batu Pahat (104 petani).

“Kesemua permohonan ini telah diangkat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bencana peringkat negeri pada April 2023 untuk diperakukan. Seterusnya permohonan ini akan dimajukan melalui sumber peruntukan negeri dan Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai 431 orang pengusaha sektor pertanian dan satu komuniti perikanan di Johor yang terkesan banjir telah menerima bantuan dengan nilai peruntukan sebanyak RM2.5 juta tahun lalu.

“Bantuan itu bukanlah untuk menampung kerugian projek pertanian sebaliknya satu usaha membantu pengusaha untuk terus melaksanakan semula projek-projek pertanian yang telah terjejas,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast