LONDON – Manchester United telah melancarkan bidaaan pertama bernilai £40 juta (RM185 juta) untuk pemain serba boleh, Mason Mount namun ditolak oleh kelabnya, Chelsea.
Laporan daripada pakar perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano mengatakan United akan kembali dengan cubaan kedua dalam masa terdekat ini.
Mount sebelum dilaporkan sudah pun bersetuju dengan syarat peribadi untuk menyertai United musim depan.
Ini kerana dia mahu meninggalkan Stamford Bridge selepas enggan menyambung kontraknya yang akan tamat tahun depan.
Pemain berusia 24 tahun itu bertekad untuk meninggalkan Chelsea dan kelab itu tidak akan menghalangnya.
Malah, Chelsea akan mencuba dan menarik bayaran setinggi mungkin bagi mengelak kehilangannya secara percuma pada 2024.
Mount juga telah menarik minat Arsenal dan juga Liverpool tetapi nampaknya United memenangi perang bidaan itu.
Pemergian pemain tengah serba boleh serta penyerang itu menandakan permulaan rombakan besar di bawah pengurus baharu Chelsea, Mauricio Pochettino. – MalaysiaGazette