KUALA LUMPUR – Dua individu maut dalam satu kebakaran yang berlaku di kilang percetakan di Bangi dekat sini awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pemeriksaan pihaknya dalam bangunan itu terdapat enam pekerja warga Bangladesh yang terperangkap dan mereka berjaya diselamatkan.
“Manakala dua daripada mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terhidu asap akibat kebakaran itu disebabkan kawasan kilang yang tiada ruang pengudaraan.
“Mereka yang diselamatkan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut manakala dua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada pukul 4.14 pagi, Pusat Gerakan Operasi (PGO) bomba negeri telah menerima panggilan kecemasan yang memklumkan mengenai kebakaran yang berlaku di Kilang Percetakan Penerbitan Bangi Sdn. Bhd. di Jalan P10/18, Taman Industri Selaman, Bandar Baru Bangi.
Bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bomba dengan kekuatan 23 anggota dan 13 pegawai bersama tujuh buah jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi, BBP Kajang, BBP Semenyih dan BBP Serdang telah bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan pemadaman dan penyelamatan.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian pemerhatian lanjut mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang percetakan berkeluasan 60×80 kaki persegi.
“Pemadaman dilakukan secara offensive fire fighting iaitu pemadaman secara terus ke dalam bangunan oleh anggota bomba dan kebakaran melibatkan kertas kitar semula yang terdapat di dalam bangunan itu,” katanya.
Tambah Wan Md Razali, kebakaran telah berjaya dikawal sepenuhnya pukul 4.48 pagi.
Jelasnya, kerja-kerja pengukuran kerugian beserta siasatan masih dilakukan di lokasi untuk mengenal pasti punca kejadian. – MalaysiaGazette