Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membuat permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan juga kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) untuk pelajar-pelajar daripada kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya memang mengalukan-alukan kenaikan elaun berkenaan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

“Kita memang mengalu-alukan, cari nahaslah kalau tak sokong.

“Jadi, sekarang soalnnya ialah kita akan mohon juga untuk pelajar-pelajar tajaan terutamanya daripada pelajar Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya ketika ditanya mengenai langkah kerajaan yang menaikkan elaun tersebut bagi peringkat persediaan hingga Ijazah Lanjutan di dalam dan luar negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidkan Tinggi Awam (IPTA), di Gombak, si sini, hari ini.

Selasa Lalu, Perdana Menteri memaklumkan, kenaikan kadar elaun itu akan dinikmati golongan pelajar berkenaan mulai 1 Julai ini.

Dalam kenyataannya pada hari sama, Perdana Menteri berkata, kenaikan elaun itu melibatkan kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara, kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) yang telah dinaikkan pada 7 November 2022.

Selain itu ia melibatkan kenaikan RM100 kadar ESH sebulan bagi pelajar tajaan JPA di dalam negara mengikut peringkat pengajian.

Dalam pada itu, ditanya mengenai jumlah permohonan yang akan dibuat oleh KPT membabitkan berapa jumlah pelajar, Mohamed memberitahu, ketika ini pihaknya belum lagi mengetahui berapakah jumlah pelajar yang akan terlibat. – MalaysiaGazette