KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama di Mantin, Negeri Sembilan kelmarin.
Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 11 malam itu hasil risikan yang telah dilakukan selama dua minggu sebelum operasi dilakukan.
Semasa serbuan, seorang individu lelaki didapati sedang leka melakukan aktiviti pemindahan gas petroleum cecair (LPG) daripada tong LPG berkapasiti 14kg bersubsidi kepada tong LPG berkapasiti 50kg.
LPG 50kg itu seterusnya akan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran.
Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli LPG 14kg bersubsidi terus daripada lori-lori penghantaran LPG di sekitar daerah Sepang, Nilai, Mantin dan Broga.
LPG bersubsidi tersebut kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit seterusnya akan dipindahkan ke tong LPG 50kg untuk kegunaan industri.
Beberapa tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 12kg, 14kg dan 50kg, kenderaan jenis lori 2.5 tan, alat penimbang pelantar elektronik, hos penyambung, telefon bimbit serta beberapa dokumen perniagaan lain yang turut ditemui telah disita bagi siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000.
Menurutnya, seorang lelaki warganegara tempatan berumur lingkungan awal 40-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit juga telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran LPG terbabit.
Tegasnya, mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkandi bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.
Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan
berkaitan minyak diesel.
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette