Antara pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam kejayaan anggota Polis menumpaskan sidiket pengedaran dadah.Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang menjadikan rumah sebagai setor bekalan dadah untuk pengedaran di sekitar Lembah Klang tumpas dalam beberapa serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Selasa lalu.

Sindiket yang aktif sejak Mac tahun lalu itu menerima bekalan dari sebuah negeri di utara Utara Semenanjung Malaysia.

Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, serbuan yang dilakukan itu membawa kepada tangkapan empat lelaki berumur antara 37 hingga 58 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.

“Dalam serbuan pemeriksaan lanjut pasukan narkotik turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu 62 kilogram syabu, 12.23 kilogram dadah MDMA, 7.5 kilogram pil ekstasi, 2.18 kilogram ketamin; dan 344 gram pil erimin 5 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM4.06 juta dipercayai boleh digunakan oleh 384,791 orang penagih dadah.

“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer dan 180 butir peluru hidup daripada suspek sindiket yang ditahan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara pelbagai jenis dadah jenis esktasi dan Erimin 5 yang dirampas Narkotik PDRM. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2022.

Tambah beliau, maklumat risikan dan siasatan mendapati modus operandi sindiket itu adalah menggunakan jalan darat sebagai laluan penyeludupan dan menjadikan premis kediaman sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati dan Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 serta Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960.

“Kesemua suspek berkenaan kini sedang direman selama tujuh tujuh hari bermula semalam sehingga 20 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya.

Noorsiah berkata, saringan awal ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek negatif dadah manakala semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Kata beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988, yang mana setakat ini JSJN telah menyita pelbagai aset haram milik sindiket iaitu lima kenderaan, barang kemas, jam tangan mewah dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM721,800.00. – MalaysiaGazette