Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang petunjuk baharu yang kukuh dan sahih bagi membolehkan misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 disambung semula.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, aspirasi untuk mencari pesawat yang telah hilang sejak 11 tahun lalu tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.

Menurutnya, operasi pencarian akan dipertimbangkan oleh kerajaan sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh.

Beliau menjelaskan, sebarang perbincangan lanjut berhubung penyambungan semula operasi pencarian pesawat MH370 akan diadakan dengan Kerajaan China dan Australia berdasarkan bukti yang boleh dipercayai.

“Dalam hubungan ini, sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh (credible evidence) yang diperolehi Kementerian Pengangkutan berhubung sebarang penemuan yang membolehkan operasi pencarian pesawat MH370 disambung semula,” katanya.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (Kampar – PH) secara bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen.

Chong sebelum itu meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha untuk mencari serpihan MH370.

Ini memandangkan terdapat syarikat Ocean Infinity yang memberi komitmen untuk meneruskan carian serpihan MH370 berdasarkan tiada fi yang akan dikenakan jika carian tidak berjaya.- MalaysiaGazette