PUTRAJAYA, 16 JUN 2023 – Pelaburan asing (FDI) di Malaysia merekodkan aliran masuk bersih RM74.6 bilion pada tahun 2022 berbanding RM50.4 bilion pada tahun sebelumnya, sementara pelaburan di luar negeri (DIA) mencatatkan RM58.6 bilion berbanding RM19.4 bilion pada 2021.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pada akhir 2022, kedudukan FDI mencatatkan nilai yang lebih tinggi iaitu RM879.1 bilion.
“Prestasi menggalakkan bagi kedua-dua FDI dan DIA telah menunjukkan keadaan ekonomi yang memberangsangkan dalam negara yang menarik syarikat asing untuk terus melabur dan begitu juga, syarikat tempatan untuk terus mengembang dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan di luar negara.
“Berdasarkan kepada prestasi FDI mengikut sektor, sektor pembuatan berkembang RM17.1 bilion untuk merekodkan aliran masuk bersih RM49.5 bilion yang menyumbang kepada aliran terbesar dalam FDI.
“Sektor pembuatan menarik 66.4 peratus dari jumlah pelaburan, terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan pembuatan lain. Sementara itu, Perkhidmatan merupakan penyumbang kedua terbesar terutamanya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan terutamanya dalam bentuk ekuiti & dana pelaburan saham,” katanya.
Rantau Amerika memintas Asia sebagai rantau tertinggi FDI bagi 2022 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM42.6 bilion, terutamanya daripada Amerika Syarikat yang berjumlah RM37.8 bilion.
Sementara itu, rantau Asia menjadi sumber utama kedudukan FDI dengan nilai sebanyak RM449.0 bilion, diikuti oleh Eropah pada RM224.5 bilion dan Amerika pada RM187.3 bilion pada akhir tahun 2022.
Kedudukan FDI telah meningkat kepada RM879.1 bilion pada akhir tahun 2022, berbanding RM782.0 bilion pada tahun sebelumnya.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai penerima terbesar iaitu 48.4 peratus atau RM429.1 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong, diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi 43.5 peratus dari jumlah FDI, te utamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan pembuatan lain.
Seperti mana prestasi FDI, aliran DIA meningkat sebanyak RM39.3 bilion untuk merekodkan RM58.6 bilion disumbangkan oleh aliran keluar yang lebih tinggi dalam ekuiti dan keuntungan yang dikekalkan di luar negara.
Perkhidmatan kekal sebagai sektor utama bagi DIA, menyumbang 72.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan terutamanya dalam aktiviti kewangan, sementara itu, sektor perlombongan & pengkuarian dan pembuatan masing-masing menyumbang 12.5 peratus dan 10.2 peratus.
Asia memintas Eropah sebagai rantau utama bagi aliran DIA pada tahun 2022 dengan nilai sebanyak RM23.5 bilion terutamanya ke Indonesia dan Singapura, diikuti oleh Eropah dan Amerika masing-masing pada RM21.0 bilion dan RM12.0 bilion.
Secara keseluruhannya, negara penyumbang utama bagi aliran DIA adalah terutamanya disalurkan ke Belanda, Indonesia dan Singapura.
Pada akhir tahun 2022, kedudukan DIA berada pada RM607.5 bilion (2021: RM546.5 bilion) yang mana Singapura, Indonesia dan Belanda merupakan
tiga destinasi utama bagi para pelabur.
Setelah pandemik Covid-19 reda dan ekonomi global mula kembali pulih secara daripada kesannya, analisis lanjut pendapatan yang diperoleh pada pelaburan tahun 2022 menunjukkan bahawa kedua-kedua pelabur FDI dan DIA terus menikmati
pulangan yang tinggi terhadap pelaburan mereka.
Dari segi purata, pulangan pelaburan bagi syarikat FDI pada tahun 2022 menurun sedikit kepada RM0.12 daripada RM0.13 pada 2021 bagi setiap RM1.00 pelaburan.
Manakala, syarikat Malaysia menerima RM0.08 bagi setiap RM1.00 pelaburan yang dibuat di luar negara. Ini terutamanya dalam sektor perkhidmatan yang memperoleh pendapatan tertinggi daripada FDI, sementara sektor pembuatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada DIA. – MalaysiaGazette