KUALA LUMPUR – Kelantan United mendapat sentuhan dari Brazil apabila melantik Ailton Dos Santos Silva sebagai ketua jurulatih baharu bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim 2023.
Pengendali yang berusia 56 tahun itu mempunyai pengalaman yang luas dan pernah melatih beberapa kelab Brazil.
Kelantan United merupakan pasukan Asia ketiga dilatihnya selain kelab Thailand, Chiangrai United dan Chiangmai United pada musim lepas.
Ailton menggantikan tempat Tomas Trucha yang diturunkan pangkat menjadi ketua jurulatih pasukan pembangunan bawah 23 tahun bagi saingan Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Pelantikan Ailton sejajar dengan pihak pengurusan Kelantan United yang bertekad membangkitkan semula kelab dalam persaingan liga setelah menamatkan pusingan pertama pada kedudukan ketiga terakhir.
“Ailton tidak asing dalam saingan di peringkat Asia Tenggara kerana pernah melatih dua kelab di Liga Thailand sebelum ini,” kata Pengarah Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman dalam satu kenyataan di sini.
Ketika bersama Chiangrai United, Ailton berjaya memacu kelab tersebut muncul juara Thai League 1 pada musim 2019 mengatasi beberapa kelab besar yang lain setelah mencatatkan 22 kemenangan seterusnya dinobatkan pengurus terbaik untuk musim itu.
Kelantan United kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super selepas hanya mampu mengutip enam mata dalam 14 perlawanan yang diharungi.
Sang Kijang Hijau dijangka menukar barisan pemain import mereka pada jendela perpindahan kedua bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini. – MalaysiaGazette