Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,814 kes jangkitan Covid-19 bagi tempoh 4 hingga 10 Jun, menurun sebanyak 15.7 peratus, berbanding 4,523 pada 28 Mei 2023 hingga 3 Jun 2023 lalu, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Kadar kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit yang disyaki) ke fasiliti kesihatan awam juga menurun dari 4.4 kepada 3.8 bagi setiap 100,000 penduduk pada tempoh tersebut.

Menurutnya, peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak 3.0 peratus manakala peratus pengisian katil bukan kritikal Covid-19 juga merosot sebanyak 1.0 peratus.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 87 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 75 kes Variant of Concern (VOC) dan 12 kes Variant of Interest (VOI).

Sehingga kini, jumlah kumulatif bagi kes XBB.1.16 (Arcturus) dan sublineages  sebanyak 55 kes yang kesemuanya adalah kes tempatan.

Pecahan kes merangkumi 16 kes di Melaka, 12 kes di Selangor, tujuh kes di Kuala Lumpur, enam di Sarawak, empat di Johor, tiga di Putrajaya, masing-masing dua kes di Perak, Negeri Sembilan dan Sabah, serta masing-masing satu di Perlis.

Sehingga tempoh itu, sebanyak 114 sampel penyakit influenza dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 13.44 peratus manakala sebanyak 9.26 peratus sampel jangkitan pernafasan akut teruk dikesan positif Covid-19.

Berdasarkan data sehingga 10 Jun 2023, hanya 50 peratus (16,337,334) penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus (824,677) sahaja telah menerima dos penggalak kedua.

Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast