Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya dalam kejadian di Seberang Jaya di sini, pada Rabu lalu.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada pihak Hospital Seberang Jaya yang memaklumkan menerima pesakit berusia tiga tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera.

Difahamkan, bapa kanak-kanak berkenaan mendapati anaknya mengalami kecederaan di mulut ketika menjemput mangsa pulang dari rumah pengasuh tersebut pada jam 8 malam hari yang sama.

Kanak-kanak yang dijaga pengasuh berkenaan sejak dia berusia lebih setahun itu dilaporkan mengalami kecederaan di bibir selain terdapat kesan lebam pada anggota badannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tangkapan tersebut.

“Suspek direman selama tiga hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya. – MalaysiaGazette