Aminolhuda Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Aminolhuda Hassan menempelak kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor mengenai pakaian jururawat dalam sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, dakwaan membabitkan pakaian pengamal perubatan di hospital dan kerajaan adalah ketat dan tidak mematuhi syariah itu adalah politik murahan.

“Pertama sekali saya ingin bertanya adakah peraturan itu yang memerintahkan pakaian jururawat mesti ketat atau pilihan jururawat itu sendiri?

“Adakah kerajaan menyekat jururawat yang memakai seragam mereka kalau mereka buat pakaian itu agak longgar? Tunjukkan larangan berkenaan.

“Inilah pendekatan politik murahan yang dimainkan oleh ahli Parlimen pembangkang yang kononnya kerajaan sengaja memaksa jururawat menggunakan pakaian seragam mereka mengikut bentuk badan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Menurut Aminolhuda, Wan Razali seharusnya mencadangkan pemberian insentif bercuti atau tambahan waktu rehat, dan bukan memberi cadangan untuk sekadar bermain politik murahan.

“Sewajarnya sebagai ahli Parlimen, beliau seharusnya mencadangkan jururawat diberi insentif cuti atau tambahan waktu rehat setelah berkhidmat sesi malam, khasnya yang bertugas di wad dan bahagian kecemasan supaya perkhidmatan jururawat betul-betul dapat dilaksanakan secara maksima.

“Apakah mungkin Ahli Parlimen Kuantan lupa yang Perikatan Nasional (PN) juga memerintah lebih kurang 33 bulan sebelum ini? Tetapi mengapa tidak dibangkitkan sewaktu PN khususnya Pas berada dalam kerajaan?” katanya lagi.

Semalam, di sidang Dewan Rakyat,  Wan Razali mendakwa ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai.

“Kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan, di mana ia tidak patuh syariah. Adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan Barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelonggaran?” katanya