Hamzah Zainuddin

KUANTAN – Serbuan ke atas kediaman Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa helah murahan dan terdesak kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MT) Bersatu, Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa ia jelas bermotifkan niat menjatuhkan imej pimpinan kanan parti itu.

“Saya sendiri menghubungi Datuk Hamzah semalam bagi mendapatkan cerita sebenar tentang apa yang berlaku, yang dikatakan nak disiasat itu ialah perkara yang sama sebelum ini kononnya telah disiasat.

“Apa dia niat di sebalik siasatan tersebut dan kenapa dia keluar di media, dari mana punca cerita itu kepada media, betul ke dari LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau dari pejabat orang lain.

“Yang saya tahu berita itu bukan keluar dari LHDN, dari pejabat lain,” dakwa Ahli Parlimen Indera Mahkota itu kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat Indera Mahkota hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berita mengenai serbuan oleh pegawai LHDN di rumah Hamzah di Damansara, Kuala Lumpur malam semalam.

Dilaporkan, dalam serbuan dan penggeledahan itu, beberapa dokumen turut dirampas.

“Saya menganggap ini helah politik yang murahan ketika PH-DAP-BN desperate untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri,” ulasnya.

Media semalam melaporkan rumah Ketua Pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.

Pada Februari lalu, Ahli Parlimen Larut itu menuduh kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas agensi terbabit membekukan akaun Bersatu.

Dia kemudiannya menafikan terbabit dengan kes rasuah berjumlah RM15 juta selepas namanya terdapat dalam kertas pertuduhan terhadap ahli perniagaan, Sim Choo Thiam. – MalaysiaGazette