Wan Azlan Wan Mamat.

KUALA LUMPUR – Hentikan segera perbuatan menular serta spekulasikan video di media sosial yang memaparkan insiden tembak mati lelaki di Bandar Sunway pada Rabu lalu.

Itu  tegas Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat kepada orang ramai.

Katanya, pada 16 Jun lalu, seorang pegawainya telah terkesan beberapa video dan gambar telah ditularkan di laman media sosial berkenaan kejadian kes tembak itu dan ia kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan kerana membunuh.

“Rentetan itu, satu laporan polis telah dibuat berkaitan video yang tular tersebut dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan sehingga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.

“Malah kes itu juga sedang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun dan didenda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mati ditembak dalam kedai aksesori telekomunikasi

Polis periksa tiga rakaman video kesan suspek kes tembak mati

Dalam perkara berkaitan, beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video berkenaan.

“Sekiranya didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah ini supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai penyiasat Insp. Mohammad Faiz Naufal Bin Zakaria (019-4858907).

“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tegasnya.

Terdahulu, dalam kejadian pada 14 Jun lalu, seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas ditembak oleh salah seorang daripada tiga lelaki di dalam sebuah kedai aksesori telekomunikasi di Bandar Sunway, Subang.

Semakan mendapati simati memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan curi. – MalaysiaGazette