JITRA – Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM8.9 juta bagi membantu institusi-institusi pendidikan Islam di Kedah meningkatkan lagi tahap dan mutu pendidikan di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM6.4 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pendidikan bagi institusi pendidikan Islam termasuk sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri berkenaan.
“Bagi negeri Kedah sahaja, Kerajaan Perpaduan telah luluskan sejumlah RM604,180 kepada 36 institusi pendidikan Islam ini untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan pendidikan seperti meja, kerusi, almari, projektor, papan putih, kabinet buku dan sebagainya.
“Kerajaan Perpaduan turut akan menyumbang sejumlah RM1.985 juta kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama yang berdaftar di Kedah dalam usaha kita menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam di negeri ini,” katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang dekat sini hari ini.
Beliau berkata selain itu, kerajaan turut bersetuju meluluskan sumbangan lain iaitu RM2.94 juta kepada 588 masjid kariah di 12 daerah di seluruh negeri Kedah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Beliau berkata sumbangan itu bagi pengimarahan masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan menjelang dengan setiap masjid akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000.
“Orang Kedah kata termasuk orang Cherok To’kun, kena ‘pekin’ (berjimat), bila kita pekin, tak boros kita boleh belanja untuk kebaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta lagi kepada pihak SMA Nahdhah Hasanah Melele bagi tujuan membaik pulih sekolah itu.
Anwar berkata di bawah Kementerian Pendidikan, sejumlah RM821 juta telah diperuntukkan untuk pengoperasian dan pembangunan pendidikan Islam khususnya bagi 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) yang berdaftar di bawah kementerian di seluruh negara.
Beliau berkata dalam keadaan kerajaan menghadapi kekangan kewangan, hutang yang banyak dan perbelanjaan defisit kerajaan tidak akan membelakangkan soal pendidikan, kesihatan dan pengimarahan masjid serta program Islam.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengetua SMA Nahdhah Hasanah Melele Mohd Jamil Sadaqi Tajuddin.- BERNAMA