KUALA LUMPUR – Beberapa hari selepas media melaporkan kediamannya diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin tampil membuka mulut.
Ketua Pembangkang itu menafikan bahawa kediamannya di Damansara, di sini ‘diserbu’ pegawai LHDN, RTabu lalu.
“Serbu itu bagaimana maksudnya. Saya nak maklumkan sudah banyak fitnah dilakukan terhadap saya, saya tak mahu menjawab fitnah dan berita yang tersebar luas ini.
“Hari ini saya dah ada maklumat contoh fitnah yang dibuat terhadap saya, dulu saya dah bawa police report. Tapi tak apalah kita pegang dulu sampai masa kita akan gunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Marang di Binjai Rendah, malam tadi.
Hamzah dalam pada itu berkata dakwaan tersebut merupakan fitnah terhadapnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi
Beliau juga memberi amaran akan mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis dan saman terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
Khamis lalu, media melaporkan LHDN menyerbu kediaman Hamzah di Damansara, Selasa lalu susulan terdapat beberapa cukai yang didakwa ttidak dilaporkan.
Malah, pasukan serbuan turut merampas beberapa fail termasuk dokumen pemilikan aset dan akaun milik Ahli Parlimen Larut itu.
Hamzah dikatakan berada di rumah ketika serbuan dan fail serta dokumen berkaitan akaun dan pemilikan aset telah dirampas. – MalaysiaGazette