KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini melahirkan kebimbangan beliau berhubung spesifikasi kenderaan mampu milik, Perodua Axia E yang mungkin kurang daripada ciri keselamatannya.
Ka Siong berkata, soal keselamatan dalam kenderaan konsep ‘Rahmah’ itu tidak seharusnya dipandang rendah semata-mata kerana mahu menjadikan ia mampu milik
“Walaupun kenderaan mampu milik ditawarkan dengan harga serendah RM22,000, namun ia perlulah dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) atau Anti-Lock Braking System dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) demi keselamatan pengguna dan orang ramai.
“Saya puji syarikat pembuat kenderaan yang sentiasa memikirkan keperluan dan memahami kesukaran rakyat dengan mengeluarkan kenderaan mampu milik namun janganlah kita berkompromi apabila ia menyentuh soal keselamatan pemandu, penumpang termasuk pengguna jalan raya yang lain.
“Spesifikasi tertentu seperti ABS, ESC dan Agihan Brek Elektronik – EBD (subsistem kepada ABS dan ESC) tidak boleh diketepikan sama sekali hanya kerana mahu menjadikan kenderaan tersebut sebagai ‘kereta rahmah’,” katanya hari ini.
Menurut Presiden MCA itu, mengurangkan spesifikasi keselamatan kenderaan semata-mata untuk membantu keluarga berpendapatan rendah bukan caranya, sebaliknya kerajaan perlu tampil dengan ‘banyak cara’ lain.
Jelas beliau, kajian telah menunjukkan bahawa ESC dan teknologi anti-gelincir lain bagi kenderaan boleh menghalang kira-kira 40 peratus kematian dan pelanggaran daripada kemalangan akibat hilang kawalan.
“Itulah sebabnya Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah pentadbiran Tan Sri Liow Tiong Lai sebagai menteri sebelum ini mewajibkan semua kereta baharu memiliki ESC mulai 1 Jun 2018.
“Sejak berdekad, ABS dan ESC terbukti sebagai teknologi penting yang dapat mengurangkan kemalangan. Semakin hari, kos untuk ciri ini juga telah berkurangan.Ingatlah bahawa kenderaan yang tidak selamat bukan sahaja membahayakan pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Jadi saya berharap pembuat kenderaan Perodua Axia E melihat semula model terbaru yang didatangkan tanpa ciri keselamatan seperti ABS, EBD, dan ESC tersebut. Malah central lock untuk mengunci keempat-empat pintu kenderaan secara automatik juga tiada dalam model ini.
“Saya difahamkan bahawa spesifikasi Axia E adalah berdasarkan kelulusan yang diberikan di bawah NCAP pada tahun 2014. Tetapi zaman telah berlalu, dan kita mempunyai pengetahuan serta kepakaran yang lebih baik dalam bidang ini,” ujarnya.
Ka Siong menegaskan, kekurangan ciri keselamatan asas boleh menjadi rujukan akan datang yang membimbangkan untuk kenderaan kos rendah, malah tidak mustahil pengilang akan menggunakan ini sebagai alasan untuk mengabaikan ciri-ciri keselamatan yang paling asas.
“Semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan, kami mewajibkan ABS untuk motosikal atas 150cc. Adakah pengeluar akan mencari jalan untuk mengurangkan lagi kos motosikal baharu dan menghapuskan ABS?,” soalnya. – MalaysiaGazette