Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-57 di Wisma Pewira ATM, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,18 JUN 2023.

KUALA LUMPUR — Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) hari ini mengumumkan pembayaran dividen sebanyak tujuh peratus kepada 156,156 ahlinya, membabitkan pembayaran sebanyak RM130.4 juta bagi tahun kewangan 2022.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus (RM41.4 juta) berbanding RM89 juta berbanding tahun 2021.

Pembayaran dividen itu berdasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat Koperasi Tentera sebanyak RM154 juta, hasil daripada pendapatan bersih pada 2022, iaitu RM256 juta.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pembayaran dividen akan diagihkan sebelum Hari Raya Aidiladha, selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Katanya, prestasi baik ini membuktikan Koperasi Tentera mampu memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten kepada anggotanya walaupun negara berhadapan suasana ekonomi mencabar.

“Koperasi Tentera juga telah melakar kejayaan setelah diberi pengiktirafan sebagai koperasi premier daripada SKM tiga tahun berturut-turut.

“Ini merupakan pencapaian terbaik bagi Koperasi Tentera untuk mereka melaksanakan tugas-tugas dan menjayakan lagi visi dan misi koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-57, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Koperasi Tentera, Brigadier Jeneral Roba’i Rahmat; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Pada majlis itu, Adly menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada lapan Anggota Terlama Koperasi Tentera, Sumbangan Bantuan Sekolah Berasarama Penuh kepada tujuh anak-anak penerima anggota Koperasi Tentera serta tiga tiga  penerima Skim Sumbangan Bakti Bantuan Perubatan.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, Koperasi Tentera telah menyalurkan pelbagai bentuk insentif bernilai lebih RM17 juta dalam tempoh 10 tahun.

“Ia memanfaatkan seramai 42,706 anggota meliputi aspek pendidikan, perubatan dan derma am. Selain itu, sumbangan khairat kematian sebanyak RM572,000 telah turut disalurkan kepada waris anggota pada tahun 2022,” katanya. -MalaysiaGazette