ALOR GAJAH – Seramai 500 pelajar sekolah di negeri ini akan dilantik sebagai ‘duta’ kerajaan negeri Melaka dikenali Volunteer Melaka sempena Tahun Melaka Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kumpulan sukarelawan itu menjalani kursus khas mengenai sejarah dan produk pelancongan negeri sebelum mereka ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan pelancong.
“Kita akan ambil anak-anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini, beri dia penerangan mengenai tempat-tempat menarik di Melaka menjadi duta dalam kawasan-kawasan pelancongan.
“Mereka ini yang kita sasarkan seramai 500 orang akan beri perkhidmatan secara sukarela dan secara tidak langsung dapat mendidik mengenali sejarah Melaka selain menyemai semangat kemerdekaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan butik konsep Coach Airways pertama di dunia di dalam pesawat Boeing 747 di Freeport A’ Famosa Outlet (FAO), di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua Pengarah Lembaga Pengalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar dan Pengarah Urusan FAO, Datuk Julian Lau.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kumpulan berkenaan akan diberi kursus ringkas mengenai sektor pelancongan secara keseluruhan khususnya usaha untuk menggamit kedatangan pelancong.
“Sukarelawan Volunteer Melaka yang kita sasarkan seramai 500 orang di peringkat awal ini akan ditempatkan di kawasan-kawasan pelancongan di seluruh negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette