Pekerja binaan warganegara Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa empat bulan lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja binaan warganegara Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa empat bulan lalu.

Tertuduh, Shahin Alam, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah memberi suapan wang tunai kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sebuah premis kerana melanggar syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan.

Perbuatan dilakukan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian SILC, Nusa Jaya Square, Iskandar Puteri, kira-kira pukul 6 petang pada 15 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaluddin m.

Manakala tertuduh diwakili peguam, R. Jegathisvaran.

Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.

Jegathisvaran memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan dan merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dengan seorang anak berada di Bangladesh.

Mahkamah kemudian menetapkan RM10,000 sebagai bayaran ikat jamin dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 20 Julai sebagai sebutan semula bagi tujuan serahan dokumen.- MalaysiaGazette