Siti Marziah menunjukkan anak pokok strawberi diusahakan di rumahnya di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, Melaka.

MELAKA – Lain yang dibelajar, lain pula yang diusahakan namun masih mampu meraih pendapatan mencecah hampir RM10,000 sebulan.

Itu dibuktikan graduan Ijazah Farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Marziah Abd. Ghapar, 36 yang kini menjadi pengeluar anak pokok strawberi tanah rendah di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang di sini sejak tujuh tahun lalu.

Menariknya, 12 varieti anak pokok strawberi seperti K-pop, Fragaria Ananassa, Fertival, Kamarosa, Japanese Sweet Charlie, Albion dan Angel Eight ditanamnya itu subur dan manis, tak ubah seperti yang ditanam di tanah tinggi Cameron Highlands.

“Mungkin sudah tertulis rezeki ini, saya pun tak sangkap tanpa sebarang pengalaman dalam bidang pertanian sebaliknya hanya berbekalkan kesungguhan saya berjaya menjadi pengeluar anak pokok strawberi tanah rendah.

“Malah kerana minat yang mendalam, saya sanggup berhenti tugas sebagai Pegawai Farmasi di Hospital Melaka pada 2016 semata-mata mahu mengusahakan tanaman ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya ketika ini, terdapat 600 anak pokok yang ditanam di dalam pasu di sekitar kawasan rumah yang hidup subur dan dikatakan mempunyai tekstur yang sama seperti di Cameron Highlands, Pahang.

“Sebenarnya ramai juga yang seperti tidak percaya dan teruja melihat kejayaan saya membela pokok strawberi tanah rendah ini kerana mereka juga pernah cuba namun pokok tidak membuahkan hasil.

“Mungkin kaedah tanaman saya membuatkan anak pokok ini subur sampaikan saya tak cukup bekalan anak pokok kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya yang mengusahakan tanaman itu bersama suaminya, Mohd. Izwan Mohd. Musai, 36.

Tambahnya, ada waktunya dia mampu meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan dengan pilihan 12 varieti anak pokok berharga antara RM12 hingga RM20 sepasu. – MalaysiaGazette.